Masjid, surau di Wilayah Persekutuan dibenar solat Jumaat dan harian


Noel Achariam

Tidak boleh lebih 50 orang hadir untuk solat Jumaat dan tidak lebih 20 orang semasa waktu solat harian, atau bergantung kepada saiz premis. – Gambar EPA, 16 Oktober, 2020.

PUTRAJAYA akan membenarkan solat Jumaat dan harian dilakukan di masjid dan surau di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.

Bagaimanapun, penjarakan sosial perlu diberi perhatian. 

Tidak boleh lebih 50 orang hadir untuk solat Jumaat dan tidak lebih 20 orang semasa waktu solat harian, atau bergantung kepada saiz premis.

“Perlu ada penjarakan sosial 1m semasa solat.

“Ini bergantung kepada saiz premis dan penjarakan sosial,” kata Ismail dalam sidang video mengenai pandemik Covid-19 dari kediamannya.

Kebenaran baharu itu diberikan kepada masjid di Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula hari ini, dan esok di Labuan, sehingga akhir perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) bagi kawasan tersebut.

PKPB di Kuala Lumpur dan Putrajaya berakhir pada 27 Oktober dan Labuan pada 30 Oktober.

Ia melibatkan 782 masjid dan surau di tiga kawasan tersebut.

Bagi Selangor, solat Jumaat akan ditangguhkan sepanjang PKPB sehingga 27 Oktober. Ini akan melibatkan 2,450 masjid dan surau.

Bagaimanapun katanya, azan dan solat harian dibenarkan dengan tidak lebih enam orang termasuk muazzin dan imam. – 16 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen