Anwar nafi beri senarai ahli Parlimen kepada Agong


Alfian Z.M. Tahir

Anwar Ibrahim disoal siasat oleh polis hari ini berhubung senarai 121 ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya untuk membentuk kerajaan baharu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 16 Oktober, 2020. 

PENGERUSI Pakatan Harapan Anwar Ibrahim berkata beliau tidak pernah berbohong berkenaan senarai nama ahli Parlimen yang menyokongnya kepada Yang di-Pertuan Agong.

Menurutnya beliau tidak menyerahkan nama dan hanya menyerahkan surat serta dokumen kepada Agong untuk menyokong dakwaannya bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti untuk mengubah kerajaan.

“Saya tidak pernah mengatakannya (bahawa saya menyerahkan nama kepada Agong).

“Jika anda dengar rakaman saya, saya katakan saya serahkan surat dan dokumen.

“Bagi PKR, sebagai presiden saya serahkan surat yang menyatakan bahawa semua 38 ahli Parlimen berjanji akan menyokong saya sebagai PM. Saya tidak menyenaraikannya (nama),” katanya kepada pemberita selepas memberikan kenyataannya kepada polis di Bukit Aman petang tadi. 

Anwar telah menghadap Yang di-Pertuan Agung Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Selasa lalu.

Selepas pertemuan itu dalam sidang media beliau memberitahu telah mempersembahkan bukti sokongan ahli Parlimen kepada Agong.

Perkataan “senarai” tertera dalam kenyataan lisan dan medianya.

Istana kemudian mengeluarkan kenyataan mengatakan bahawa walaupun Anwar telah bertemu dengan Agong, beliau tidak menyerahkan senarai nama ahli Dewan Rakyat yang didakwa menyokongnya untuk membentuk sebuah kerajaan baharu.

Anwar disoal siasat oleh polis hari ini berhubung senarai 121 ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya untuk membentuk kerajaan baharu.

Mengenai sama ada PKR akan mengikut Pejuang dan Amanah dalam memfailkan usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Anwar berkata parti itu belum membincangkan idea berkenaan.

“Sekarang ini tidak ada rundingan. Saya sibuk di tempat lain,” katanya.

Hari ini Dr Mahathir Mohamad bersama empat ahli Parlimen Pejuang memfailkan usul tidak percaya terhadap Muhyiddin dengan menyatakan majoriti ahli Parlimen telah hilang kepercayaan kepada perdana menteri. – 16 Oktober, 2020. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen