GEMPA bumi bermagnitud 6.5 pada skala Richter mengegarkan Jawa, Indonesia pada Jumaat membunuh sekurang-kurangnya seorang dan gegaran dirasai sehingga Jakarta.
Tiada bukti jelas wujudnya ancaman tsunami tetapi pihak berkuasa mengatakan mereka sudah mengeluarkan amaran susulan gempa itu yang berpusat 300 kilometer dari ibu kota negara itu.
Jurucakap Agensi Mitigasi Bencana Nasional Sutopo Purwo Nugroho berkata seorang mangsa berusia 62 tahun terbunuh di kawasan Ciamis di Jawa Barat selepas terperangkap dalam rumah yang runtuh.
Sekurang-kurangnya lima orang lagi dilaporkan cedera di sekitar kepulauan itu dan pihak berkuasa masih menilai kerosakan yang disebabkan gempa yang melanda sebelum tengah malam waktu tempatan itu (1700 GMT).
Gempa berukuran 6.5 itu berlaku pada kedalaman 91 kilometer dan kurang satu kilometer dari bandar Cipatuh, kata agensi kajian gempa Amerika Syarikat.
Gegaran gempa itu dirasai di seluruh kepulauan itu.
Penduduk di bandar Cilacap sudah dipindahkan sebagai persediaan menghadapi tsunami. – AFP, 16 Disember, 2017.
Komen