Peter Jackson dakwa Weinsten burukkan nama Judd, Sorvino


Harvey Weinstein memberi tekanan dan maklumat palsu kepada Peter Jackson supaya tidak mengambil Ashley Judd atau Mira Sorvino berlakon dalam "Lord of the Rings". – Gambar EPA, 16 Disember, 2017.

PENGARAH yang pernah menang Oscar, Peter Jackson pada Jumaat mendakwa Harvey Weinstein melakukan kempen memburukkan nama pelakon wanita berdekad lamanya ketika semakin banyak dakwaan serangan seksual dilemparkan kepada bekas penerbit filem terkemuka itu.

Jakson pernah bekerjasama dengan Weinstein dan adiknya, Bob pada peringkat awal produksi filem “Lord of the Rings,” berkata mereka berdua berkelakuan seperti “pembuli mafia kelas kedua.”

Pengarah berasal dari New Zealand itu berkata beliau tidak mengetahui secara langsung kebenaran dakwaan serangan seksual terhadap Weinstein tetapi penerbit itu menekannya supaya tidak mengambil Ashely Judd atau Mira Sorvino untuk berlakon.

Kedua-dua pelakon wanita itu antara yang terawal mendakwa Weinstein kerana serangan seksual.

Jumlah mereka yang mendakwa penerbit itu kini mencecah lebih 100 orang mangsa dengan pelbagai dakwaan termasuklah gangguan seksual dan rogol.

Jackson berkata pada lewat 1990-an, Judd dan Sorvino adalah antara pelakon yang disenarai pendek untuk filem  Tolkien itu sebelum Weinstein dan Miramax Film menyertai proses penerbitan.

“Saya masih ingat yang Miramax memberitahu kami yang mereka (Judd dan Sorvino) sukar bekerjasama dan kami perlu mengelak mengambil mereka walau apa pun kesannya. Ini berlaku sekitar 1998,” katanya kepada Fairfax New Zealand.

“Ketika itu, kami tiada sebab untuk mempersoalkan apa yang mereka beritahu—tetapi kalau diingat kembali, barulah saya sedar ini mungkin kempen memburukkan nama dilakukan Miramax.

“Saya sekarang syak yang kami diberikan maklumat salah tentang kedua-dua wanita berbakat ini dan kesannya mereka disingkirkan daripada senarai pelakon kami.

Dalam tweet penuh emosinya, Sorvino mengatakan “ baru lihat selepas bangun tidur, saya menangis.”

“Itulah buktinya yang Harvey Weinstein menjejaskan kerjaya saya, sesuatu yang saya syaki tetapi tidak pasti,” katanya. “Terima kasih Peter Jackson kerana jujur.”

Judd pula dalam balasan menerusi Twitternya memberitahu yang: “Saya masih ingat perkara ini.”

Miramax menarik diri daripada produksi “Lord of the Rings” yang diambil alih oleh New Line dan dikeluarkan sebagai trilogy filem yang diterima baik pengkritik dan penonton serta memenangi beberapa Oscar.

“Pengalaman saya, ketika Miramax mengawal ‘Lord of the Rings’, adalah Weinstein dan adiknya bersikap seperti pembuli mafia kelas kedua,” kata Jackson.

“Mereka bukanlah orang yang saya mahu bekerjasama- jadi saya tak bekerjasama. Pembikinan filem lebih menyeronokkan bila kita bekerja bersama dengan orang yang baik.” – 16 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen