Lihat masalah sebenar MH dalam pengurusannya


Jahabar Sadiq

MALAYSIA Airlines kembali jadi buah mulut dan seperti biasa kerana berita buruk.

Syarikat penerbangan negara itu berdepan dengan risiko penutupan, lima tahun selepas ia memberhentikan 6,000 kakitangan dan menukar jenama dari Malaysian Airlines System menjadi Malaysia Airlines Berhad.

Penjenamaan semula itu untuk mengelakkan syarikat itu ditutup ekoran dua tragedi penerbangan Boeing 777 pada 2014.

Kini, pemegang saham tunggal Malaysia Airlines, syarikat pelaburan negara Khazanah Nasional Berhad mempertimbangkan langkah penyelamatan dengan bantuan syarikat sewaan pesawatnya.

Ia turut mempertimbamgkan satu lagi pilihan iaitu menjadikan satu lagi syarikat penerbangannya, Firefly menjadi syarikat penerbangan negara.

Jika pelaksanaan itu berjaya, Firefly berpotensi menjadi syarikat penerbangan negara, kata Pengarah Urusan Khazanah Nasional Shahril Ridza Ridzuan semalam seperti dilapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kedudukan kedua-dua syarikat penerbangan bawah kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG) itu.

Namun ini bukanlah langkah penyelesaian Khazanah Nasional, Malaysia Airlines, Firefly atau rakyat Malaysia yang bergantung kepada pesawat itu untuk perjalanan dalam negeri dan ke pelusuk Sabah dan Sarawak.

Jawapan itu membayangkan dana atau kewangan korporat tidak membebankan kedua-dua syarikat untuk menghadapi pandemik koronavirus dan kembali berjaya apabila sektor penerbangan pulih.

Lagi pula, kerajaan melalui Khazanah Nasional menyuntik sekurang-kurangnya RM30 bilion untuk menyelamatkan Malaysia Airlines daripada ditutup.

Suntikan itu dibuat melalui program penstrukturan semula Wide Asset Unbundling (WAU) pada 2001 dan akhir sekali pada 2015.

Isunya soal pengurusan, campur tangan politik dan etika kerja – bukan di kalangan majoriti kakitangan tetapi yang memikul tanggungjawab besar.

Sepanjang tempoh ini, jawatan utama itu bertukar tangan. Ada yang hanya bertahan setahun, tetapi pengurusan kanannya tetap sama – mengulang kesilapan dan membuat syarikat kerugian.

Kesilapan ditebus oleh individu yang sudahpun kehilangan jawatan dan yang akan kehilangan kerja apabila Khazanah Nasional menentukan nasib Malaysia Airlines tidak lama lagi.

Namun usaha menjadikan Firefly syarikat penerbangan negara juga tidak akan berjaya. Kos seperti sewa pesawat, bahan api dan bayaran letak pesawat sudahpun tetap.

Kos yang boleh dikurangnya adalah kakitangan – yang akan menjejaskan tenaga kerja dalam Malaysia Airlines dan Firefly.

Ia mengumumkan akan memulakan operasi dengan 10 pesawat badan kecil untuk pasaran destinasi domestik, Asean dan Asia Pasifik dengan berpusat di Lapangan Antarabangsa Pulau Pinang.

Namun pengumuman MAG untuk Firefly memulakan operasi jet pada suku pertama 2021  tidak akan mengubah apa-apa kecuali kosnya.

Selama ini Firefly berjaya kerana ia beroperasi dengan 12 pesawat turboprop berkembar dalam negara sahaja, dengan kos lebih murah berbanding pesawat enjin jet.

Pesawat enjin jet dalam Firefly hanya akan memindahkan kos dari Malaysia Airlines dan mungkin menyebabkan lebih ramai kehilangan kerja dari syarikat penerbangan negara itu.

Adakah syarikat sewa pesawat mahu bekerjasama dengan kumpulan yang membuka dan menutup perniagaan sesuka hati?

Apa akan jadi pada hutang yang masih belum dilunaskan? Bagaimana kesannya kepada penarafan bon Malaysia?

Apa akan jadi pada pengguna yang bergantung kepada khidmat MasWings bawah Malaysia Airlines di pedalaman Sabah dan Sarawak?

Bagaimana pula dengan kakitangan yang sudahpun menanggung pemotongan gaji untuk membolehkan syarikat terus beroperasi?

Apabila syarikat ini memakai lambang Firefly, adakah apa-apa perubahan akan berlaku?

Khazanah Nasional perlu melihat semula masalah MAG bukan dari segi dana tetapi isu pengurusan. Ia memerlukan pengurus lebih baik untuk memulihkan syarikat.

Kumpulan itu memerlukan lembaga dengan individu berpengalaman dalam bidang penerbangan dan pengurusan dengan kemampuan yang lebih dari membina rangkaian.

Pengurusan ini perlu berfikir tentang kesetiaan dan kepuasan pelanggan.

Selama ini, Malaysia Airlines hanya menjadi lohong hitam tempat wang dan bakat melesap.

Khazanah Nasional perlu melihat masalah sebenar dalam pengurusannya, dan tidak hanya membuat Plan A atau B. – 16 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen