Agong tak berkenan keadaan politik tak menentu


Seri Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa tidak selesa dengan krisis politik yang berlaku ketika negara sedang berdepan pandemik Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Oktober, 2020.

YANG di-Pertuan Agong menitahkan ahli politik agar menginsafi bencana yang dibawa pandemik Covid-19 dan tidak mengganggu kestabilan politik.

Dalam satu kenyataan, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin berkata baginda mengingatkan bahawa rakyat berdepan pelbagai masalah akibat pandemi itu.

“Seri Paduka Baginda menasihati rakyat, khususnya ahli politik, untuk bersama bermuhasabah agar negara ini tidak sekali lagi diheret ke kancah politik yang tidak menentu ketika kita semua masih berhadapan dengan pelbagai masalah dan masa depan yang sukar akibat ancaman wabak Covid-19.”

Menurut Ahmad Fadil, Al-Sultan Abdullah juga mahu ahli politik bersikap matang dan tidak mengabaikan kesejahteraan rakyat, seperti nasihatnya pada Mei lalu.

“... Ahli politik seharusnya tidak mengakhiri perbezaan pendapat dengan permusuhan tetapi sebaliknya menyelesaikan permasalahan melalui perundingan dan proses perundangan yang termaktub di dalam perlembagaan.”

Peringatan Seri Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah itu muncul ketika kedudukan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin diancam pelbagai pihak termasuk pemimpin parti kerajaan.

Sokongan dari kalangan pemimpin Umno terhadap Muhyiddin kini merosot antaranya ekoran pelantikan pemimpin tertentu ke jawatan kerajaan yang tidak disenangi kumpulan lain parti itu.

Para pemimpin Umno mendedahkan parti itu dibuli Bersatu dalam Perikatan Nasional dan mengancam untuk mengalih sokongan sekiranya tuntutannya tidak dipenuhi.

Ketika sungutan itu semakin kuat diperkatakan, Presiden PKR Anwar Ibrahim pada bulan lalu mendakwa mendapat majoriti untuk mengambil alih kerajaan.

Muhyiddin difahamkan akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat dari Umno Ahmad Zahid Hamidi dan dari PAS Hadi Awang pada hujung minggu ini untuk menyelesaikan kemelut itu.

Tengku Razaleigh pula pada masa sama mengadakan pertemuan dengan para pemimpin parti pembangkang yang dikaitkan dengan usaha membentuk kerajaan campuran baharu.

Tengku Razaleigh memghadap Yang di-Pertuan Agong pada Selasa lalu selepas baginda mendengar penjelasan Anwar mengenai sokongan untuk mengambil alih kerajaan.

Semalam, veteran Umno itu mendedahkan surat beliau mendesak speaker Dewan Rakyat untuk menyatakan alasan menolak usul undi tidak percaya ke atas Muhyiddin.

Usul tersebut difailkan Dr Mahathir pada Mei dan semalam difailkan semula oleh perdana menteri ketujuh itu berserta empat lagi usul sama oleh ahli Parlimen yang bersama beliau dalam Pejuang. – 16 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen