2017 adalah tahun anak muda, Oxford Dictionaries pilih 'youthquake'


Youthquake bermaksud “perubahan signifikan budaya, politik atau sosial disebabkan oleh tindakan atau pengaruh orang muda”. Ia pertama kali dikenali ramai pada pilihan raya umum Britain Jun lalu yang menyaksikan peningkatan mendadak orang muda keluar mengundi, dan semakin banyak digunakan ketika pilihan raya New Zealand pada September. – Gambar AFP, 16 Disember, 2017.

 “YOUTHQUAKE” diisytiharkan sebagai perkataan tahun 2017 oleh Oxford Dictionaries pada Jumaat susulan penggunaanya yang meningkat lima kali ganda

Perkataan itu bermaksud “perubahan signifikan budaya, politik atau sosial disebabkan oleh tindakan atau pengaruh orang muda”.

Ia pertama kali dikenali ramai pada pilihan raya umum Britain Jun lalu yang menyaksikan peningkatan mendadak orang muda keluar mengundi, dan semakin banyak digunakan ketika pilihan raya New Zealand pada September.

Bagaimanapun, perkataan itu pertama kali digunakan pada 1965 oleh pengarang majalah Vogue ketika itu, Diana Vreeland bagi menggambarkan bagaimana budaya orang muda mengubah industri fesyen dan musik.

Ia menewaskan lapan perkataan lain yang disenarai pendek.

Ini termasuklah “milkshake duck” yang bermaksud “orang atau benda yang pada mulanya memberikan inspirasi di media sosial tetapi kemudian didedahkan mempunyai masa silam yang menjijikkan” dan “white fragility” yang bermaksud “ketidakselesaan atau orang kulit putih yang membela diri apabila berdepan maklumat tentang ketidaksetaraan kaum dan ketidakadilan”.

Juga dalam senarai pendek adalah “broflake” yang bermaksud “lelaki yang marah atau tersinggung dengan sikap progresif yang bertentangan dengan pandangan konservatifnya”, serta “newsjacking” yang bermaksud “mengambil kesempatan atas situasi semasa untuk mempromosikan jenama.”

Casper Crathwohl, presiden Oxford Dictionaries berkata “Youthquake” adalah perkataan yang semua orang boleh raikan.

“Kami pilih ‘youthquake’ kerana kepentingan dan tarikan linguistiknya. Tetapi bagi saya yang lebih mustahak adalah perkataan politik itu menggambarkan wujudnya harapan baru.”

“Kita berharap kepada bahasa untuk membantu kita meraikan di mana kita berada sekarang, berapa jauh kita sudah bergerak dan ke mana arah tuju kita,” katanya.

“Youthquake” bukan saha mencerminkan ethos, mood dan kepentingan situasi semasa tahun lepas tetapi juga “mempunyai potensi besar selaku perkataan yang mempunyai kepentingan budaya”.

Antara perkataan yang sebelum ini dipilih sebagai perkataan tahunan adalah “post-truth” (2016), “emoji” (2015), “vape” (2014), “selfie” (2013), “omnishambles” di Britain and “GIF” di Amerika Syarikat (2012) dan “squeezed middle” (2011). – AFP,16 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen