Bekas gabenor Mexico diusir dari Panama kerana rasuah


Roberto Borge, 37, ditahan pada 4 Jun lalu di Panama apabila cuba menaiki penerbangan ke Paris. – Gambar AFP, 16 Disember, 2017.

KERAJAAN Panama pada Jumaat menandatangani kelulusan ekstradisi seorang bekas gabenor Mexico yang dihendaki di negaranya kerana dakwaan rasuah, menurut Kementerian Luar.

Roberto Broge yang pernah menjadi gabenor Quintana Roo di Mexico akan dihantar pulang ke negaranya dalam tempoh sebulan, kata kenyataan itu.

“Mexico ada masa 30 hari untuk datang dan bawanya pulang,” kata jurucakap kementerian, Monica De Leon kepada AFP.

Katanya Presiden Panama, Juan Carlos Varela dan Menteri Luar, Isabel de Saint Malo menandatangani arahan itu.

Borge, 37, ditahan pada 4 Jun lalu di Panama apabila cuba menaiki penerbangan ke Paris.

Dia didakwa menjual hartanah milik negara pada kadar satu peratus berbanding nilai pasaran. Dakwaan lain termasuklah rasuah, penipuan, penggubahan wang haram dan penglibatan dalam jenayah terancang.

Pada Isnin, Borge tewas dalam usahanya menghalang arahan ekstradisi itu di Mahkamah Agung Panama.

Dia sebelum ini mentadbir Quitana Roo yang antara lain mempunyai pelbagai kawasan pantai tarikan pelancong antara 2011 hingga 2016 menerusi parti pemerintah Mexico, Institutional Revolutionary Parti (PRI).

Parti itu yang sudah mentadbir Mexico selama 76 tahun bergelumang dengan pelbagai skandal rasuah melibatkan ahlinya. Lima pemimpin parti itu sedang menjalani hukuman penjara di Mexico atau di tempat lain. – AFP, 16 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen