Sekolah perlu bersedia beralih kepada kelas dalam talian


Angie Tan

Guru sudah bersiap sedia jika diarahkan beralih kepada pengajaran dalan talian pada bila-bila masa susulan gelombang ketiga Covid-19 melanda negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Oktober, 2020.

SEKOLAH dan guru perlu bersiap sedia jika diarahkan beralih kepada pengajaran dalam talian pada bila-bila masa susulan gelombang ketiga Covid-19, walaupun ketika ini hanya beberapa negeri diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), kata guru besar dan wakil kesatuan guru.

Meskipun PKPB dilaksanakan di Sabah, Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya, namun jumlah kedatangan murid dilaporkan menurun di Johor, manakala ibu bapa di Pulau Pinang mula bimbang susulan tercetusnya kluster Covid-19 di penjara reman.

Gelombang ketiga pandemik Covid-19 di negara ini menyaksikan lonjakan kes di kebanyakan negeri selepas pilihan raya negeri Sabah pada 26 September lalu.

Pemangku Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Besar Malaysia Chua Lay Kah, yang juga pengerusi kesatuan cawangan Johor, berkata ibu bapa mula menunjukkan tanda-tanda panik sejak kerajaan umum pelaksanaan PKPB di Sabah , Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Kedatangan murid di Johor turun sedikit dari sekitar 97% kepada 93%, katanya.

“Ibu bapa mungkin takut selepas muncul gelombang baharu, jadi mereka mahu anak duduk di rumah.”

Di Pulau Pinang pula kerisauan ibu bapa tercetus selepas kemunculan kluster di penjara reman di negeri itu, yang diisytiharkan zon merah.

Penjara dan kuarters kakitangan diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula semalam.

Pengerusi Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Besar cawangan Pulau Pinang Chew Eng Hock berkata ibu bapa tidak perlu risau kerana penularan hanya berlaku di dalam kawasan penjara.

Beliau menggesa ibu bapa supaya terus menghantar anak ke sekolah memandangkan risiko jangkitan di luar kawasan PKPD adalah sangat kecil.

“Di Pulau Pinang, kedua ibu bapa kebanyakannya bekerja. Jadi mereka risaukan keadaan anak mereka.

” Ada yang terpaksa bawa sekali anak ke tempat kerja tetapi ini bukan idea yang baik.

“Lebih baik hantar anak ke sekolah, lebih selamat, kerana sekolah menjalankan prosedur operasi standard (SOP) ketat,” kata Chew, yang juga guru besar SJK(C) Min Sin.

Sekolah sudah bersiap sedia kepada kelas dalam talian sekiranya sekolah terpaksa ditutup akibat jangkitan Covid-19.– Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Oktober, 2020.

Seorang murid di sekolahnya disahkan positif Covid-19 bulan lepas. Kehadiran murid turun mendadak walaupun sekolah telah disanitasi, tambah Chew.

“Walaupun tidak menjangkiti orang lain tetapi ibu bapa jadi panik dan tidak mahu hantar anak ke sekolah.

“Sekolah juga disanitasi empat kali untuk meyakinkan ibu bapa bahawa keadaan di sekolah selamat, malah pengesanan kontak rapat juga dijalankan. Kesemua keputusan ujian ke atas kontak rapat negatif.”

Terdapat kira-kira 90 sekolah jenis kebangsaan Cina di Pulau Pinang, kata Chew.

Walaupun murid SJK(C) Min Sin sudah kembali ke sekolah, guru-guru diarahkan supaya bersiap sedia beralih kepada pengajaran dalam talian sekiranya perlu.

“Pandemik ini kita tidak tahu bila akan berakhir.

“Pengurusan sekolah dan pembelajaran murid juga berubah kerana pandemik ini. Walaupun guru-guru tidak gemar pengajaran dalam talian, tetapi mereka diarahkan supaya sentiasa bersiap sedia demi kesalamatan murid.

Di Johor, Chua, yang juga guru besar  SJK(C) Kuo Kuang 2 di Skudai, berkata sekolahnya sudah bersiap sedia kepada kelas dalam talian sekiranya sekolah terpaksa ditutup akibat jangkitan Covid-19.

“Kami sudah bersiap sedia jika perlu adakan kelas dalam talian pada bila-bila masa.”

Setiap murid telah diberi kata laluan dan maklumat yang diperlukan untuk mendaftar masuk kelas dalam talian.

“Video juga kita sudah siapkan dan dihantar kepada ibu bapa supaya mereka boleh ajar anak cara mengikuti kelas.” – 17 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen