BEIJING pada Khamis mengecam pelantikan utusan hak asasi Tibet dibuat Washington, berkata AS mahu memusnahkan kestabilan rantau itu.
“AS patut berhenti menggunakan isu Tibet untuk masuk campur hal dalaman China dan memusnahkan pembangunan dan kestabilan Tibet,” kata jurucakap Kementerian Luar Zhao Lijian pada taklimat rutin.
Jabatan Negara AS pada Rabu menamakan seorang pegawai kanan hak asasi Robert Destro sebagai penyeleras khas untuk isu Tibet.
Hubungan dua hala antara AS dan China semakin buruk kerana kritikan berterusan Washington ke atas rekod hak asasi Beijing dalam pelbagai isu termasuklah Xinjiang dan Tibet, di mana kumpulan etnik minoriti ditindas kerajaan.
Zhao bertegas yang minoriti etnik di Tibet menikmati “kebebasan sepenuhnya beragama” dan menuduh AS melakukan “manipulasi politik”.
Kawasan pergunungan pedalaman itu yang bersempadan dengan India, Nepal dan Bhutan adalah salah satu wilayah termiskin China, tetapi mempunyai banyak sekatan kemasukan untuk warga asing termasuk wartawan.
Pada Khamis di sidang media di ibu kota Tibet, Lhasa, Pengerusi Wilayah Che Dalha berkata China “tidak pernah menyekat kemasukan warga asing ke Tibet”.
Tahun ini, China meraikan ulang tahun ke-70 dalam apa yang digelarnya pembebasan aman Tibet, apabila ketumbukan Tentera Pembebasan Rakyat menceroboh dan menakluk wilayah itu, mencetuskan pertempuran yang membunuh ribuan orang penduduk etnik Tibet.
Kumpulan hak dan aktivis Tibet yang bertebaran seluruh dunia berkata penduduk wilayah itu berdepan sekatan keras ke atas agama dan budaya mereka di bawah pentadbiran China termasuklah peruntuhan tokong yang mencetuskan pelbagai protes sejak beberapa tahun lepas.
Pada September, laporan dikeluarkan Yayasan Jamestown di AS mendakwa ribuan orang penduduk Tibet dipaksa menyertai skim pemindahan buruh yang serupa dengan program buruh paksa di Xinjiang.
Beijing bagaimanapun mendakwa ia membawa kemajuan ekonomi ke wilayah itu dan meningkatkan kualiti hidup penduduknya.
Tugas Destro termasuklah melobi hak asasi penduduk Tibet dan berhubungan dengan pemimpin Tibet termasuk Dalai Lama.
Pemimpin kerohanian Tibet itu terus dipinggirkan Beijing dan China mengancam serangan balas kepada mana-mana negara asing yang berjumpa dengannya. – AFP, 16 Oktober, 2020.
Komen