AIRBNB memohon pihak berkuasa membuat pertimbangan teliti ke atas cadangan pengharaman sepenuhnya sewa jangka pendek dalam bangunan berstrata yang dakwa mereka boleh menggugat proses pemulihan sektor pelancongan negara.
“Kami membantah sekerasnya sebarang pengharaman sepenuhnya yang tidak adil dan berat sebelah ke atas sewa jangka pendek di bangunan berstrata,” kata Ketua Dasar Awam Airbnb untuk Asia Tenggara Mich Goh.
Katanya, ramai rakyat Malaysia yang tinggal di bangunan berstrata bergantung kepada sewa jangka pendek untuk menjana pendapatan tambahan menampung kehidupan mereka.
“Airbnb percaya semua rakyat Malaysia patut memiliki pilihan untuk bertanggungjawab dan berkongsi rumah mereka sendiri dengan selamat,” katanya dalam satu kenyataan.
“Dengan pemulihan ekonomi sangat penting berlaku kini, bukankah ujian pertama untuk mana-mana dasar adalah ia perlu membantu pertumbuhan ekonomi dan pembentukan kerja untuk rakyat Malaysia? Dalam ujian ini, sebarang cadangan untuk mengharamkan sewa jangka pendek bangunan berstrata gagal,” tambahnya.
Goh juga membangkitkan isu pengharaman mutlak itu akan memberi kesan besar kepada industri pelancongan yang sudah sedia lemah kerana ia akan menjejaskan ribuan pekerja tempatan dan kaedah jana pendapatan sampingan yang digunakan ramai rakyat Malaysia ketika zaman sukar ini.
“Bagaimanpun, peranan Airbnb dalam membantu merangsang pemulihan industri pelancongan sekarang boleh terancam dengan cadangan pengharaman sepenuhnya sewa jangka pendek bangunan berstrata.”
Menurut kajian Oxford Economics, pelawat yang menggunakan platform sewa itu membelanjakan RM4.4 bilion di Malaysia tahun lepas dan menyokong lebih daripada 52,000 pekerjaan dalam negara ini.
Goh bagaimanapun berkata, Airbnb akan menyokong peraturan jelas sewa jangka pendek di Malaysia yang menyokong pilihan rakyat yang secara bertanggungjawab berkongsi kediaman mereka.
Pada masa sama, katanya, Airbnb juga akan memastikan badan pengurusan bersama bangunan atau pengurusan syarikat dimaklumkan tentang situasi sewa jangka pendek di bangunan mereka.
“Airbnb memandang tinggi jawatankuasa yang berterusan bekerjasama dengan kerajaan Malaysia dan komuniti untuk merangsang pemulihan sektor pelancongan,” katanya.
Mahkamah Persekutuan baru-baru ini memutuskan yang badan pengurusan bangunan berstrata boleh mengharamkan sewa jangka pendek unit kediaman di bangunan mereka.
Kerajaan Pulau Pinang pula sedang merangka garis panduan untuk badan pengurusan apartmen dan kondominium bagi penguatkuasaan pengharaman sewa jangka pendek di bangunan mereka susulan keputusan mahkamah tertinggi negara itu. – 15 Oktober, 2020.
Komen