PAS mahu semua parti dalam gabungan kerajaan yang memerintah mempertahankan kepimpinan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata semua parti ini telah diberi amanah oleh Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk kerajaan, pada hujung Februari lalu.
“PAS yakin baginda telah bertindak berdasarkan segala kuasa prerogatif dan budi bicara sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan dan undang-undang negara atas konsep Raja Berperlembagaan.
“Justeru PAS menyeru parti-parti politik yang diberikan amanah untuk membentuk kerajaan baginda yang kini dipimpin oleh Muhyiddin Yassin selaku perdana menteri Malaysia, diberikan sokongan padu tanpa diganggu gugat bagi membolehkan kerajaan ini berfungsi dengan baik dan efektif,” kata Takiyuddin, dalam satu kenyataan.
Muhyiddin mengetuai kerajaan Perikatan Nasional (PN) selepas percaturan politik pada hujung Februari lalu yang menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan, yang mentabdir sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Kerajaan itu dibentuk oleh Bersatu pimpinan Muhyiddin dengan dukungan PAS, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), dan beberapa parti di Sabah dan wakil rakyat bebas.
BN kini terdiri daripada Umno, MCA, MIC, dan PBRS.
Sementara itu, Takiyuddin yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, anggota Kabinet kerajaan juga seharusnya bertindak sebagai satu pasukan lebih-lebih lagi dalam suasana penularan wabak Covid-19.
“Jemaah Kabinet yang dianggotai oleh parti-parti BN, PN, GPS, PAS dan GRS mestilah bertindak secara kolektif dan bertanggungjawab dengan memberikan keutamaan dan fokus kepada kesejahteraan rakyat,” katanya.
GRS atau Gabungan Rakyat Sabah ialah kerjasama politik khusus di Sabah yang dibentuk bersama oleh PN, Star dan Parti Bersatu Sabah.
Takiyuddin membuat seruan itu dengan mengingatkan tugas utama Jemaah Menteri sekarang iaitu menangani penularan semula pandemik Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara yang teruk terjejas.
Biro Politik Umno yang bermesyuarat pada Selasa mengumumkan parti itu menimbang untuk menarik balik sokongan terhadap Perikatan dan keluar dari kerajaan, melainkan Perikatan bersetuju dengan syarat baharu.
Syarat baharu kerjasama politik untuk sokongan Umno itu pula perlu dimuktamadkan segera secara bertulis, umum Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan.
Ahmad juga mengumumkan mesyuarat itu bersetuju untuk mencadangkan Muafakat didaftarkan segera sebagai gabungan politik.
Cadangan Biro Politik itu akan dibincangkan sekali lagi dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada Sabtu ini.
PAS sekarang bersama Bersatu membentuk PN sebagai parti baharu, dan parti Islam itu turut bersama Umno membentuk Muafakat Nasional. – 15 Oktober, 2020.
Komen