PUTERA Britain, Putera Harry dan aktres Amerika Syarikat Meghan Markle akan melangsungkan perkahwinan pada 19 Mei depan di Gereja St George, Istana Windsor dekat London, menurut Istana Kensington pada Jumaat.
“Duli Yang Teramat Mulia Putera Henry Wales dan Cik Meghan Markle akan berkahwin pada 19 Mei, 2018,” kata kediaman rasmi pasangan tersebut dalam satu kenyataan.
Kenyataan rasmi diraja bulan lalu mengumumkan pertunangan Harry 33 tahun dengan Meghan yang merupakan janda, yang terkenal menerusi siri televisyen yang dibintanginya “Suits”.
Markle merancang untuk dibaptiskan di Gereja England sebelum perkahwwinannya dan akan mendapatkan kewarganegaraan Britain dan menghentikan kempen amal antarabangsanya.
Pasangan berkenaan tinggal di kotej milik Harry di kawasan Istana Kensington.
Gereja St George adalah di mana Harry dibaptiskan dan menjadi saksi kepada beberapa perkahwinan diraja terutamanya pada abad ke-19.
Ratusan orang menyambut pasangan itu dalam lawatan diraja pertama mereka bulan ini di bandar Nottingham di tengah England.
Markle juga akan menyambut perayaan Krismas bersama keluarga diraja di estet peribadi Sandringham milik Queen Elizabeth di timur England.
Dia merupakan tunangan pertama dijemput meraikan Krismas bersama keluarga diraja. – AFP, 15 Disember, 2017.
Komen