Ribuan warga Palestin terus protes di sempadan Israel 


Warga Palestin bertindak balas selepas tentera Israel melepaskan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan di bandar Hebron, Tebing Barat. – Gambar EPA, 15 Disember, 2017.

RIBUAN warga Palestin menyertai protes terbaharu pada Jumaat bagi membantah pengiktirafan kontroversi Washington terhadap Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, namun setakat ini tiada sebarang ancaman intifada baru. 

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada 6 Disember mengumumkan beliau akan memecahkan dasar Amerika selama berdekad dan menggerakkan kedutaannya ke Baitulmaqdis hingga mencetuskan kecaman antarabangsa, serta bantahan di seluruh wilayah Palestin dan dunia Arab. 

Empat warga Palestin terbunuh, dengan lebih 1,000 orang tercedera, menurut kementerian kesihatan Palestin. 

Penunjuk perasaan bertindak membakar bendera Amerika dan Israel dan memijak gambar Trump. Namun kebimbangan bahawa keputusan itu akan membawa kepada gelombang besar pertumpahan darah masih belum wujud. 

Bantahan tercetus di seluruh wilayah Palestin pada Jumaat kedua yang menyaksikan pertempuran antara generasi muda Palestin dengan tentera Israel. 

Di Gaza, Hamas menyeru untuk satu lagi “hari kemarahan” terhadap keputusan itu, dengan puluhan ribu berarak di jalanan. 

Pertempuran dijangka akan tercetus di sepanjang sempadan dengan Israel. 

Di Tebing Barat, beberapa ribu orang berkumpul di selatan bandar Hebron, dan juga Nablus di utara, dengan pertempuran tercetus berhampiran kem Al-Arroub, selatan Bethlehem. 

Di Baitulmaqdis sendiri, sekitar 30,000 orang bersembahyang di Masjid Al-Aqsa, tempat suci ketiga bagi umat Islam, kata organisasi Islam yang mentadbir kawasan itu. 

Kebanyakannya pulang tanpa sebarang insiden, namun berlaku beberapa pergaduhan kecil di luar bandar lama Baitulmaqdis. – AFP, 15 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen