Anwar perjudi wibawa jika gagal, kata penganalisis


Kamles Kumar

Anwar Ibrahim semasa sidang media kelmarin selepas menghadap Agong bagi mempersembahkan senarai ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Oktober, 2020.

ANWAR Ibrahim mempertaruhkan wibawa dan nama baiknya sebagai ahli politik yang berpengalaman apabila menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat untuk jadi perdana menteri, kata penganalisis.

Mereka mengenangkan Anwar pernah membuat dakwaan sama iaitu ada sokongan sebelum ini, dan kalau kali ini beliau gagal lagi, presiden PKR itu boleh melupakan saja peluangnya untuk jadi perdana menteri.

Pensyarah ajung kanan di Universiti Nasional Singapura Dr Mustafa Izzuddin berkata ini bukan pertama kali Anwar mendakwa beliau ada sokongan untuk membentuk kerajaan tetapi kali ini wibawanya jadi taruhan.

“Anwar ini bakal perdana menteri paling lama dalam sejarah Malaysia. Apa yang dibuatnya sekarang ialah memberitahu masyarakat bahawa beliau masih lagi tokoh utama dalam politik Malaysia.

“Beliau menunjukkan wibawanya kepada rakyat. Muslihat politiknya ini untuk mengujakan rakyat dan untuk Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan,” kata Mustafa kepada The Malaysian Insight.

Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) kelmarin mendapat perkenan untuk menghadap Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi mempersembahkan senarai ahli parlimen yang didakwa mendukungnya.

Tidak lama selepas pertemuan itu, Istana Negara dalam satu kenyataan menyebut Anwar hanya mengemukakan jumlah mereka yang menyokongnya tetapi tidak menyerahkan kepada Yang di-Pertuan Agong senarai nama mereka.

Al-Sultan Abdullah juga menasihati Anwar untuk akur dan menghormati proses-proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, kata kenyataan itu.

Penganalisis lain bagaimanapun berkata Anwar tidak memberikan senarai nama bagi mengelak tarik tali oleh Perikatan Nasional (PN) untuk mendapatkan semula sokongan yang terlepas.

Pensyarah politik Prof Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata Anwar sanggup melindungi senarai penyokongnya tetapi beliau tidak akan melampaui batas dengan berbohong kepada pihak istana kerana tindakan itu akan ada kesan yang besar.

“Kenyataan (Anwar) itu untuk memastikan mereka yang terlibat tidak tampil bagi mengelak dipujuk atau dibeli oleh ahli politik lain.

“Anwar tidak akan sanggup menipu Istana.

“Beliau mempertaruhkan masa depannya, partinya dan PH. Semuanya boleh terjejas,” katanya.

Felo kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura Dr Oh Ei Sun juga setuju dan menambah mungkin ada salah faham antara Istana dan Anwar mengenai senarai berkenaan kerana Anwar tidak akan mahu mendedahkan keseluruhan langkah politiknya.

“Anwar perlu mengimbangi antara senarai penuh yang akan memberi peluang kepada lawan mendapatkan semula sokongan dan senarai yang cukup untuk meyakinkan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Menurut Mustafa, majoriti yang Anwar ada akan menarik sokongan daripada ahli Parlimen Umno, yang terbuka untuk berunding dengan mana-mana pihak yang boleh menguntungkan mereka.

“Kalau tengok dari mana Anwar dapat sokongannya, kemungkinannya daripada Umno.

“Ada puak yang sedia menyokong jika ada imbalan untuk mereka. Tetapi mereka juga terbuka berunding dengan pihak lain,” tambahnya.

Pensyarah Pengajian Asia di Universiti Tasmania Prof James Chin pula berkata Anwar sekarang hanya boleh menunggu titah tuanku.

Profesor James Chin yakin Anwar Ibrahim akan mencuba lagi mengambil alih kerajaan jika gagal kali ini, selagi beliau masih menjadi ahli Parlimen. – Gambar fail The Malaysian Insight , 15 Oktober, 2020.

“Anwar sudah tidak boleh tarik tali lagi. Beliau sudah mempersembahkan kepada tuanku dan sekarang untuk tuanku membuat langkah seterusnya.

“Jika gagal kali ini, Anwar terpaksa akan menunggu lebih lama atau mungkin sampai pilihan raya akan datang,” katanya.

Sekiranya usaha mengambil alih kerajaan ini gagal, Anwar tentu akan mencuba lagi, selagi beliau masih ahli Parlimen, tambahnya.

“Selagi Anwar ahli Parlimen beliau berbahaya untuk semua (ahli politik),” kata Chin.

Anwar juga mempunyai penyokong tegar yang bersama sejak zaman Reformasi pada 1998 dan mereka tidak akan meninggalkannya walaupun beliau gagal, kata Awang Azman.

“Seperti Lim Guan Eng yang ada penyokong kuat DAP, Anwar juga ada penyokong kuat. Mereka akan sokong walau apa pun.

“Langkah ini akan dilihat sebagai perjuangannya untuk menubuhkan sebuah kerajaan yang bersih,” katanya.

Oh pula berkata rakyat Malaysia mudah lupa, terutamanya dalam soal politik.

“Dalam politik Malaysia, kesilapan yang menjejaskan nama baik ahli politik boleh diperbaiki dengan sesuatu tindakan yang luar biasa.

“Elit politik kini hanya mengatur kepentingan bersama,” katanya.

Selepas Anwar menghadap Yang di-Pertuan Agong semalam, Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah pula dilihat keluar dari Istana Negara pada 2.40 petang.

Yang di-Pertuan Agong juga dilaporkan akan memanggil ketua parti politik menghadap namun sesi itu sudah ditangguhkan. – 15 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen