SEORANG wanita warga emas kerugian RM136,000 selepas ditipu sindiket Macau Scam, yang mendakwa mangsa terlibat kes menjual akaun bank untuk kegunaan jenayah di Kepala Batas baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa berusia 70-an yang sebelum ini bekerja sebagai kerani kilang itu pada mulanya menerima panggilan telefon daripada seorang individu, yang mendakwa pekerja Pejabat Pos Laju di Kuala Lumpur.
“Pekerja itu memaklumkan terdapat satu bungkusan atas nama warga emas tersebut dan pemeriksaan pihaknya mendapati terdapat sekeping kad pengenalan dan lapan keping kad ATM (kad mesin juruwang automatik).
“Panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada seorang pegawai polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Noorzainy, suspek lelaki yang mengaku sebagai inspektor polis itu kemudian memaklumkan hasil pemeriksaan nombor kad pengenalan mangsa mendapati wanita tersebut terlibat dengan kegiatan menjual akaun bank kepada seorang lelaki, dengan harga RM10,000 dan telah menerima wang sebanyak RM23 juta.
Noorzainy berkata lelaki mengaku sebagai inspektor polis itu juga memaklumkan, mangsa adalah suspek utama dalam kes tersebut dan meminta warga emas berkenaan tidak memberitahu atau menceritakan kepada sesiapa berhubung perkara tersebut, kerana kes itu masih dalam siasatan.
Katanya wanita itu yang terlalu takut ditahan polis dan dikenakan tindakan undang-undang akur dengan arahan suspek dengan memindahkan wang ke dalam akaun diberikan sindiket tersebut kononnya duit berkenaan hanyalah untuk semakan pihak berkuasa.
“Mangsa membuat tujuh transaksi memasukkan wang ke dalam empat akaun bank berbeza yang keseluruhannya berjumlah RM136,000. Mangsa dimaklumkan bahawa kesemua wang mangsa adalah untuk siasatan pihak berkuasa termasuk Jabatan Audit bagi kes wanita berkenaan,” katanya.
Menurut Noorzainy, mangsa menyedari dia ditipu dan menceritakan hal itu kepada keluarganya selepas suspek terus menghubungi dan meminta wang dari suri rumah tersebut.
Katanya, suri rumah itu membuat laporan polis semalam berhubung kejadian tersebut dan polis sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk mengesan sindiket tersebut serta kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – Bernama, 14 Oktober, 2020.
Komen