Istana tangguh sesi Mat Sabu, Guan Eng menghadap Agong


Istana Negara menangguhkan pertemuan dengan pemimpin DAP dan Amanah susulan PKPB di Selangor, KL dan Putrajaya. – Gambar EPA, 14 Oktober, 2020.

ISTANA Negara menangguhkan pertemuan dengan pemimpin DAP dan Amanah untuk menentukan majoriti sokongan bagi membolehkan Anwar Ibrahim mengambil alih kerajaan.

Satu kenyataan bersama oleh Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengesahkan pertemuan itu ditangguhkan.

“Semalam setiausaha sulit kanan baginda memaklumkan kepada kami bahawa kedua-dua sesi menghadap tuanku ditangguhkan,” kata mereka.

Menurut kenyataan itu Lim sepatutnya menghadap Yang di-Pertuan Agong pada hari ini dan Mohamad pula menghadap baginda pada Rabu minggu depan.

Istana semalam mengumumkan pelaksanaan sekatan pergerakan di Istana Negara ekoran penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di ibu negara.

Sekatan pergerakan separa di Istana Negara itu berkuatkuasa sehingga tarikh yang akan diumumkan kelak, menurut kenyataan Istana Negara semalam.

PKPB meliputi Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya dilaksanakan sehingga 27 Oktober ekoran peningkatan kes Covid-19 di hampir kesemua daerah di negeri dan wilayah terbabit.

Anwar semalam berkata beliau mengemukakan dokumen dalam bentuk akuan bersumpah kepada Yang di-Pertuan Agong bagi membuktikan sokongan majoriti ahli Parlimen ke atasnya.

Dalam sidang media selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong, Anwar berkata beliau mendapat sokongan sekurang-kurangnya 120 ahli Parlimen.

Istana Negara dalam satu kenyataan selepas pertemuan itu menyebut, Anwar bagaimanapun tidak menyertakan senarai ahli Parlimen yang menyokong. – 14 Oktober, 2020. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen