Cari cara lain tangani Covid-19 tanpa jejas ekonomi, kata petani


Mohd Farhan Darwis

Nelayan,penternak dan peniaga di Kuala Selangor berkata pendapatan mereka sedang hendak pulih selepas sekatan sebelum ini, dan kini terpaksa berhadapan sekatan pusingan baharu yang berkuatkuasa semalam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 17 Oktober, 2020.

PENTERNAK, nelayan dan peniaga di Kuala Selangor mahu kerajaan menggunakan kaedah lain bagi membendung penularan Covid-19 selain perintah kawalan pergerakan (PKP) yang merencatkan sumber pendapatan dan ekonomi mereka.

Mereka yang bergantung pada pendapatan harian memberitahu pendapatan mereka sedang hendak pulih selepas sekatan sebelum ini, dan kini terpaksa berhadapan sekatan pusingan baharu yang berkuatkuasa hari ini.

Penternak kambing Mohd Faisal Idris, 70, berkata ekonomi mereka yang terjejas sebelum ini belum pulih sepenuhnya, ketika kerajaan mengenakan pula perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di seluruh Selangor.

“Kerajaan kena cari cara lain untuk uruskan Covid-19, tak boleh lagi gunakan PKP, kena cari kaedah yang tidak menjejaskan aktiviti ekonomi,” katanya, kepada The Malaysian Insight ketika ditemui di ladang ternakan kambingnya, baru-baru ini.

Katanya, kesan PKP sejak Mac lalu masih dirasai terutamanya oleh penternak sepertinya sehingga tidak mampu menjana sumber pendapatan kerana sekatan aktiviti.

“Memang aktiviti pertanian boleh berjalan seperti biasa tetapi berapa banyak hasil pertanian yang boleh ke pasaran jika ada sektor yang tidak dibenarkan beroperasi.

“Apabila institusi pendidikan dan pengajian tinggi ditutup, kantin sekolah dan dewan makan di sekolah berasrama penuh tidak beroperasi, pengusaha tidak mendapatkan bekalan bahan mentah mereka.

“Jadi di mana kami nak jual hasil pertanian kami? Mungkin hasil daripada sektor makanan utama ini akan dibiarkan mereput di ladang,” jelasnya.

Para nelayan berkata peraih ikan tidak akan membeli hasil tangkapan dalam kuantiti yang banyak ketika PKPB berjalan.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 16 Oktober, 2020.

Faisal khuatir pusingan baharu sekatan yang bermula hari ini akan menjejaskan semula rantaian sektor ekonomi memandangkan Lembah Klang adalah pusat tumpuan aktiviti ekonomi negara.

“Walaupun aktiviti ekonomi tidak ditutup sepenuhnya, ia memperlahankan proses urusan perniagaan.

“Peraih dan peniaga tidak lagi boleh mengambil hasil pertanian dalam kuantiti biasa sebaliknya akan berkurang disebabkan kurangnya permintaan daripada pelanggan kerana penutupan beberapa sektor,” katanya.

Nelayan Md Rafi Sabrab, 39, yang juga sependapat berkata peraih ikan tidak akan membeli hasil tangkapan dalam kuantiti yang banyak ketika PKP berjalan.

“Nelayan boleh turun ke laut tetapi nak jual hasil tangkapan susah… peraih tak datang ambil ikan. Kita dah susah-susah turun ke laut, kita tak tahu nak buat apa.

“Peraih tak ambil ikan, kalau ambil pun tidak boleh ambil dalam kuantiti yang banyak takut tak boleh jual.

“Kita jual kepada orang kampung pun berapa sangat dapat,” katanya, kepada The Malaysian Insight.

Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada Isnin meluluskan pelaksanaan PKPB di seluruh Selangor, Putrajaya, Kuala Lumpur, dan Sabah susulan penularan pandemik Covid-19 yang semakin meningkat di negeri dan wilayah berkenaan.

Perintah itu dikuatkuasakan bermula hari ini sehingga 27 Oktober.

Selangor bagaimanapun mengemukakan cadangan balas kepada MKN kerana tidak seluruh negeri diletakkan dalam kategori zon merah jangkitan, iaitu lebih 41 kes. Sesetengah daerah seperti Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor masih dikelaskan sebagai zon hijau, iaitu tiada jangkitan Covid-19.

Setakat semalam, hanya mukim Klang dikategorikan dalam zon merah sementara beberapa mukim dalam daerah Petaling, Kuala Langat, Gombak, dan Hulu Langat berada dalam zon kuning.

Dalam pada itu, peniaga ikan dan sayur Marzuki Mohd Nor, 64, berkata beliau akan sedia menghentikan operasi perniagaannya di pasar nelayan Sungai Yu, sama seperti yang dilakukannya semasa peringkat awal PKP.

“Kita tunggu arahan daripada pihak berkuasa. Kalau boleh berniaga, kita buka macam biasa.

“Kita ikut pada pemerintah, kalau mereka kata tutup terpaksalah kita tutup operasi,” katanya.

Beliau khuatir jika tidak penularan Covid-19 dikawal keadaan akan jadi lebih parah.

“Kita nak bangkang pun masalahnya nanti berbalik kepada kita. 

“Memang kawasan kita sekarang zon hijau atau kuning tetapi kita tak tahu bila tiba-tiba jadi zon merah,” katanya.

Tinjauan The Malaysian Insight di sekitar Kuala Selangor semalam juga mendapati suasana di pasar nelayan itu sesak dengan pelanggan yang berpusu-pusu membuat pembelian panik sehari sebelum PKPB berkuatkuasa.

Peniaga yang memulakan operasi seawal pukul 8 pagi juga kehabisan barang jualan sekitar dua jam kemudian disebabkan pertambahan bilangan pelanggan, termasuk mereka yang datang dari Kuala Lumpur.

Orang ramai berpusu-pusu membuat pembelian panik di pasar di Kuala Selangor semalam.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 16 Oktober, 2020.

“Tidak pernah berlaku macam ini. Selalunya kita berniaga sampai pukul 2 petang, hari ini pukul 10 pagi barang jualan dah habis,” kata Marzuki.

Dalam pada itu, nelayan, Azmi Ahmad, 49, berpendapat langkah kerajaan menguatkuasakan PKPB tepat sebelum keadaan menjadi tidak terkawal.

Walaupun pendapatannya sebagai nelayan akan terjejas, Azmi berkata dia akan membuat kerja sampingan bagi menampung kehidupan keluarganya.

“Kehidupan kita akan terjejas sikitlah bila PKPB berkuatkuasa, kalau tidak boleh ke laut kita buatlah kerja di darat, sumber pendapatan ada tetapi kita kena rajin,” katanya.

Selain menjadi nelayan, Azmi berkata dia juga akan mencari ketam nipah dan mengambil upah memetik hasil kelapa sawit sebagai sumber pendapatan sampingan jika tidak ke laut.

PKPB yang berkuatkuasa hari ini juga akan menghadkan kegiatan keagamaan berkumpulan seperti di masjid.

Semua 425 buah masjid, 278 surat solat Jumaat dan lebih 1,700 buah surau di seluruh Selangor ditutup untuk solat Jumaat sementara solat jemaah lima waktu sehari dihadkan kepada tiga orang.

Nazir Masjid Puncak Alam Zainal Abidin Sulaiman memberitahu The Malaysian Insight, pihak pengurusan akan mematuhi arahan daripada pihak berkuasa agama negeri Selangor.

“Kami ikut arahan Jais (Jabatan Agama Islam Selangor), kalau diarahkan esok Subuh kita tutup, kita tutup pintu masjid,” katanya.

Zainal Abidin berkata, kariah masjid juga sudah dimaklumkan lebih awal sebarang kemungkinan yang diterima.

“Jemaah juga sudah bersedia. Mereka ada yang dah bertanya. 

“Saya kata kalau Jais arah tutup, kita tutuplah…. kalau tak boleh solat Jumaat kita akan ikut arahan Jais,” katanya. – 17 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen