Umno mahu syarat baru sokong kerajaan Perikatan, kata Ahmad Maslan


Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Biro Politik Umno malam ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Oktober, 2020.

UMNO menimbang untuk menarik diri daripada menyokong Perikatan Nasional (PN) dan menetapkan syarat baharu untuk meneruskan kerjasama politik dengan gabungan kerajaan, kata Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan.

Umno juga akan mahu Muafakat Nasional didaftarkan segera sebagai gabungan politik yang sah, katanya.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Biro Politik Umno malam ini yang turut dihadiri pengerusi Umno negeri dan ahli jawatankuasa pengurusan parti.

Menurut Ahmad Maslan, keputusan itu adalah sebulat suara.

“Umno akan mencadangkan kepada jawatankuasa pemandu Muafakat Nasional agar Muafakat Nasional didaftarkan sebagai sebuah gabungan politik yang sah.” katanya.

Umno dan PAS menjalin kerjasama rasmi atas nama Muafakat Nasional pada September 2019.

Ahli Parlimen Pontian itu berkata keputusan dibuat itu susulan daripada Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini.

Sementara itu, Ahmad Maslan berkata Zahid turut dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Khamis ini pukul 5 petang.

Mengenai syarat baharu, Ahmad Maslan berkata mereka akan sampaikan perkara itu kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada mesyuarat esok.

Ditanya sama ada jemaah menteri setuju dengan keputusan untuk tarik diri daripada Perikatan, Ahmad berkata: “Kita hanya pertimbangkan untuk tarik diri. Kita masih belum buat keputusan.”

Beliau berkata Majlis Tertinggi Umno juga akan mengadakan mesyuarat pada Sabtu pukul 10 pagi menerusi persidangan video.

Berkenaan dengan jawatankuasa Muafakat, Ahmad Maslan berkata ia akan diketuai oleh Mohamad Hasan dan rakannya dari PAS Tuan Ibrahim Tuan Man. – 13 Oktober, 2020. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen