Putrajaya perlu runding dengan kami dulu, kata wakil rakyat Selangor


Kamles Kumar

Pelaksanaan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula hari ini sehingga 27 Oktober. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Oktober, 2020.

WAKIL rakyat di Selangor kesal dengan tindakan Putrajaya yang menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tanpa berunding terlebih dahulu dengan kerajaan negeri.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight, ini bukan kali pertama kerajaan Perikatan Nasional (PN) membuat keputusan penting melibatkan Selangor, tanpa berunding dengan kerajaan negeri.

Wakil rakyat DAP Michelle Ng berkata Putrajaya melakukan perkara itu minggu lalu apabila menguatkuasakan PKPB di Klang, yang mana ia mengejutkan semua pihak dalam kerajaan negeri termasuk menteri besar.

“Sekali lagi, kerajaan gagal untuk berjumpa dengan kerajaan negeri Selangor sebelum mengumumkan sesuatu yang penting.

“Kami dapat memberi mereka keraguan apabila mereka tidak melibatkan lima negeri pembangkang pada isu nasional sebelum ini dengan pemimpin negeri.

“Tetapi mereka sekali lagi tidak melibatkan Selangor apabila mengumumkan PKPB di Klang dan kini di seluruh negeri. Selepas tiga kali, kami mula terfikir,” kata Adun Subang Jaya itu kepada The Malaysian Insight.

Pada Isnin Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula hari ini sehingga 27 Oktober. 

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata negeri itu terkejut dengan pengumuman berkenaan dan akan menghantar pandangan kepada MKN untuk dinilai berikutan terdapat beberapa kawasan di Selangor masih zon hijau dan kuning, yang mana kes Covid-19 masih terkawal.

Sementara itu, wakil rakyat Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin memberitahu The Malaysian Insight pada fasa pertama PKP lagi, Selangor dan negeri Pakatan Harapan yang lain dikecualikan daripada perbincangan di peringkat persekutuan.

“Masih ingatkah perkara sama berlaku ketika fasa pertama PKP pada Mac tahun ini?

“Lima negeri di bawah pimpinan PH (termasuk Selangor) tidak diundang dalam mesyuarat Covid-19. Tiada alasan yang diberikan,” kata ahli politik DAP.

Adun Bukit Lanjan Elizabeth Wong juga memberitahu The Malaysian Insight beliau dihujani pelbagai pertanyaan oleh penduduk di kawasannya terutamanya dari komuniti perniagaan selepas pengumuman pada Isnin.

“Kerajaan persekutuan perlu hentikan mengecualikan Selangor daripada keputusan penting dan kritikal melibatkan negeri dan rakyatnya.

“Ini sudah banyak kali berlaku, menyebabkan keputusan yang tidak baik serta menimbulkan kekeliruan sebagaimana yang berlaku hari ini, kata Wong.

Ng berkata Selangor merupakan salah sebuah penyumbang terbesar kepada ekonomi negara dan komuniti perniagaan di sini tidak senang terutamanya apabila hanya sedikit butiran diberikan.

“Ia menyebabkan timbul kekeliruan di peringkat bawahan. Semalam dan hari ini juga ramai yang membanjiri kedai runcit. Perniagaan juga tidak tahu bagaimana untuk merancang.

“Sungguh mengejutkan bahawa mereka (kerajaan persekutuan) tidak belajar dari kesilapan. Entah itu, atau kerajaan ini benar-benar tidak berhubungan dengan rakyat dan apa yang berlaku di luar sana,” katanya. – 14 Oktober, 2020.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen