PKPB: 4 lokasi sekatan jalan raya di Putrajaya 


Polis tidak teragak-agak mengenakan saman atau mengarahkan mereka yang ingkar untuk patah balik ke lokasi asal.– Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Oktober, 2020.

SEKATAN jalan raya akan diadakan di empat lokasi di Putrajaya bermula 12.01 tengah malam ini sehingga 27 Oktober, berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kata Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Mohd Fadzil Ali.

Empat lokasi tersebut ialah di Lebuh Sentosa berhampiran Institut Kanser Negara menghala keluar ke Lebuhraya Maju Expressway (MEX); Persiaran Selatan menghala keluar ke Dengkil; Persiaran Utara pintu dua A menghala ke Kajang; dan Persiaran Utara pintu tiga menghala ke Puchong, katanya.

Beliau ketika ditemui pemberita di Putrajaya hari ini meminta semua pihak bersabar dan bekerjasama dalam tempoh 14 hari itu, bagi bersama-sama mengurangkan pergerakan kerana ia perlu supaya pengawalan pandemik Covid-19 dapat dilakukan dengan berkesan.

“Sekiranya sesiapa ingkar, pihak kami tidak teragak-agak mengenakan saman atau mengarahkan mereka patah balik ke lokasi asal,” katanya ketika ditanya sama ada penduduk Putrajaya telah berpusu-pusu balik ke kampung atau menghantar anak-anak mereka pulang ke kampung, berikutan pengumuman pelaksanaan PKPB.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berkuatkuasa 12.01 tengah malam 14 Oktober sehingga 27 Oktober ini, setelah mengambil kira peningkatan kes dan penularan Covid-19.

Mohd Fadzil berkata mereka yang mempunyai urusan kecemasan termasuk kematian boleh mendapat kebenaran daripada Ketua Polis Daerah, timbalan KPD, ketua balai polis Presint 7 dan 11, namun ia bergantung kepada budi bicara dan mengambil kira kawasan yang dikunjungi tidak berisiko tinggi.

“Kita nasihatkan warga Putrajaya sentiasa patuh pada arahan polis dan tidak panik kerana PKPB ini dilaksanakan bagi memastikan penularan Covid-19 tidak meluas,” katanya, sambil menambah sektor ekonomi dan perkhidmatan juga masih dibenarkan beroperasi.

Dalam pada itu, beliau berkata badan bukan kerajaan (NGO) atau pihak yang ingin menyumbang makanan dan kelengkapan kesihatan seperti pelitup muka, cecair pembasmi kuman dan peralatan perlindungan peribadi (PPE) boleh menyerahkannya kepada IPD Putrajaya atau pasukan kebajikan dan bukannya menghantar ke lokasi sekatan jalan raya.

“Ini dapat memastikan sumbangan dapat diagihkan dengan lebih teratur dan mengelakkan lambakan makanan,” katanya.– Bernama, 13 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen