MUHYIDDIN Yassin akan menyerahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memutuskan siapa yang mempunyai sokongan majoriti untuk menjadi perdana menteri.
“Saya tak mahu mengulas apa yang dilakukan Anwar (Ibrahim) di istana.
“Saya serahkan keputusan kepada Agong,” kata pemimpin berusia 73 tahun itu dalam sidang media keduanya sejak menjadi perdana menteri pada 1 Mac.
Sidang media itu dilakukan ketika Muhyiddin berada dalam kuarantin selepas beliau menghadiri mesyuarat Majlis Keselamatan Negara pada 3 Oktober yang turut dihadiri Menteri Hal Ehwal Islam Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang kemudiannya disahkan positif Covid-19.
“Tuanku seorang yang bijaksana, faham dari sudut peranan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong mengikut peruntukan perlembagaan.
“Itu adalah dalam kuasa penuh Yang di-Pertuan Agong, maka kita harus memberikan kepercayaan kepada baginda untuk memutuskan apa yang patut diputuskan. Saya sebenarnya tidak mengikuti perkara itu,” katanya di kediaman rasminya di Putrajaya.
Beliau berkata keutamaannya sebagai perdana menteri adalah bagaimana menguruskan wabak dan ekonomi Covid-19.
“Ketika dia (Anwar) berada di Istana Negara, saya di sini mengadakan persidangan video dengan Majlis Keselamatan Negara mengenai Covid-19.
“Perhatian utama saya ialah menguruskan masalah Covid-19 dan masalah ekonomi negara,” katanya.
Presiden Bersatu itu mengulas mengenai pertemuan Anwar dengan Agong pagi tadi.
Menurut Anwar beliau telah mempersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bahawa beliau mempunyai sokongan kukuh untuk menjadi perdana menteri.
“Ada lebih daripada 120 ahli Parlimen. Agong akan melihat senarai itu dan akan memanggil pemimpin parti dalam dua hingga tiga hari lagi.
“Nama ahli Parlimen akan dikeluarkan kemudian. Oleh itu saya mengulangi bahawa kerajaan Muhyiddin telah jatuh,” kata Presiden PKR dan Pengerusi Pakatan Harapan berkenaan.
Tetapi tidak lama selepas sidang media Anwar pada jam 2.30 petang, Istana Negara mengeluarkan kenyataan mengatakan bahawa walaupun Anwar telah bertemu dengan Agong, beliau tidak menyerahkan senarai nama ahli Dewan Rakyat yang didakwa menyokongnya untuk membentuk sebuah kerajaan baharu.
Kerajaan Muhyiddin disokong oleh 113 ahli Parlimen iaitu seramai 50 orang dari Perikatan Nasional, Barisan Nasional (43), Gabungan Parti Sarawak (18), Parti Bersatu Sabah (1) dan seorang bebas.
Sementara Anwar disokong oleh Pakatan Harapan yang mempunyai 91 ahli Parlimen di 222 ahli Dewan Rakyat.
Seramai 18 ahli Parlimen dari Parti Warisan Sabah (8), Pejuang (5), PSB (2), Upko (1) dan 2 orang bebas tidak menyatakan kedudukan mereka. – 13 Oktober, 2020.
Komen