Guan Eng bakal menghadap Agong, kata sumber


Chan Kok Leong

Lim Guan Eng telah dipanggil untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong selepas pertemuan Anwar Ibrahim di Istana Negara pagi tadi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Oktober, 2020.

SETIAUSAHA Agung DAP Lim Guan Eng telah dipanggil untuk menghadap Yang di-Pertuan Agung Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, kata sumber parti itu.

“Kami baru saja menerima pemberitahuan yang beliau dipanggil menghadap Agong,” kata sumber itu kepada The Malaysian Insight.

Pertemuan Lim dengan Agong itu selepas Ketua Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim menghadap pagi tadi.

Bagaimanapun, sumber itu tidak dapat memastikan bila Lim dijadualkan menemui Sultan Abdullah.

Lim, yang merupakan Adun Air Puteh di Pulau Pinang, kini menghadiri mesyuarat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di Georgetown.

Pemimpin daripada parti lain juga dikatakan akan menemui Agong petang ini, tetapi dakwaan ini masih belum dapat disahkan.

Sementara itu, Anwar memberitahu wartawan petang ini yang beliau sudah mengemukakan kepada Agong senarai “lebih 20” anggota Parlimen yang menyokongnya untuk menjadi perdana menteri.

Pada sidang media jam 2 petang, Anwar berkata beliau sudah memberikan senarai tersebut dan meminta orang ramai memberi ruang kepada membuat tindakan Agong sewajarnya.

“Tolong beri beliau masa untuk bertemu dengan pemimpin parti lain untuk mengesahkan senarai itu,” kata Anwar. – 13 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen