Batu Sapi mengundi 5 Disember, umum SPR


Hailey Chung Wee Kye

Kerusi Parlimen Batu Sapi di Sabah kosong selepas penyandangnya VK Liew meninggal dunia pada 2 Oktober lalu.– Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 13 Oktober, 2020.

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Batu Sapi akan diadakan pada 5 Disember, umum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini.

Kerusi Parlimen Batu Sapi di Sabah kosong selepas penyandangnya VK Liew meninggal dunia pada 2 Oktober lalu.

“Penamaan calon ditetapkan pada 23 November dan pengundian awal pada 1 Disember,” kata pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh dalam sidang media di pejabatnya di Putrajaya.

Abdul Ghani juga berkata kempen pilihan raya akan dijalankan secara dalam talian atas alasan keselamatan dan kesihatan awam bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

Liew, 60, meninggal dunia selepas mengalami jangkitan paru-paru setelah dimasukkan ke hospital untuk rawatan tulang belakang.

Bekas menteri undang-undang itu meninggal seorang isteri dan empat anak.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-14, Liew menang di Batu Sapi atas tiket Parti Warisan Sabah mengalahkan calon Parti Bersatu Sabah, PAS dan Amanah, dengan majoriti 4,619.

Sebelum menyertai Warisan pada Mac 2018, Liew adalah presiden Parti Liberal Demokratik Sabah (LDP) sebelum digugurkan susulan kemelut politik dalaman parti pada 2014.

Beliau juga adalah timbalan menteri dalam kabinet Abdullah Ahmad Badawi.

Barisan Nasional (BN) dan Parti Cinta Sabah (PCS) baru-baru ini mengumumkan tidak bertanding dalam PRK Batu Sapi selepas Pilihan Raya Negeri Sabah pada hujung September menjadi punca utama penularan pandemik Covid-19 gelombang ketiga di Malaysia.

Sabah mulai hari ini diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat, manakala peraturan sama dikenakan ke atas Selangor, Kuala Lumpur, dan Putrajaya berkuat kuasa esok. – 13 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen