ANWAR Ibrahim meninggalkan Istana Negara, selepas menghabiskan masa selama 45 minit menghadap Yang di-Pertuan Agong pagi ini.
Bagaimanapun, presiden PKR itu tidak bercakap dengan media yang berkumpul di luar pagar Istana Negara.
Presiden PKR itu hanya melambaikan tangan ke arah pihak media ketika beliau pulang menuju ke kediamannya di Bukit Segambut.
Anwar dijadual mengadakan satu sidang media di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 2 petang ini.
Beberapa penyokong PKR yang berkumpul di luar istana melaungkan “Reformasi” ketika ahli Parlimen Port Dickson itu lalu.
Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil awal pagi ini memberitahu media beliau tidak pasti sama ada Anwar akan bercakap dengan media selepas menghadap Agong.
Anwar mengaku mendapat sokongan majoriti pada 23 September, tetapi tidak dapat menemui Agong yang berada di hospital ketika itu.
Polis semalam berkata akan memanggil pemimpin pembangkang itu berhubung senarai 121 anggota Parlimen yang dikatakan menyokongnya dalam menukar kerajaan.
Pelbagai parti politik yang bersama kerajaan menolak dakwaan Anwar dan mengulangi sokongan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Bagaimanapun, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau tidak dapat menghalang ahli Parlimen partinya daripada menyokong Anwar jika mereka mahu. – 13 Oktober, 2020.
Komen