Aktivis hak tanah adat Sarawak mahu bina sekatan, halang penerokaan


Desmond Davidson

SEMUA aktivis hak tanah Orang Asal Sarawak menghantar satu kertas cadangan untuk mengadakan sekatan bagi melindungi tanah adat Bumiputera (NCR) yang kian diancam kerana kerajaan tidak mengiktiraf tuntutan tanah nenek moyang mereka. 

“Ia merupakan langkah susulan selepas perhimpunan,” kata aktivis hak Dayak, Peter John Jaban yang merujuk kepada perhimpunan pada 13 November yang diadakan di Kuching untuk memberi tekanan kepada kerajaan negeri bagi meminda undang-undang untuk mengiktiraf tuntutan tanah Orang Asal. 

“Sekatan itu untuk menggesa kerajaan dan syarikat perladangan, agar tindakan diambil secepat mungkin.

“Seperti pemakan tenggiling, sekali mereka mengorek lubang, tiada apa yang akan dapat menghentikannya,” kata Jaban yang menggunakan amalan memburu Dayak sebagai perumpamaan.

“Jadi, kamu perlu ambil tindakan. Sekatan itu akan mengggesa kerajaan dan syarikat perladangan. Jika tidak, sukar untuk berunding dengan mereka.”

Cadangan sekatan itu dibuat oleh bekas ahli Parlimen Harrison Ngau, yang mula-mula menyokong kaedah itu sebelum ini menyebabkan tangkapan oleh pihak berkuasa terhadap mereka. 

Ngau, yang merupakan ahli parlimen dari 1990 hingga 1995 berkata, pemilik tanah NCR perlu “bersiap sedia untuk tindakan besar seterusnya”, dan tidak hanya berfikir bahawa perhimpunan bulan lalu akan membawa kepada kerajaan negeri bersetuju dengan permintaan pribumi.

Pribumi Sarawak menuntut pindaan Kanun Tanah untuk mengiktiraf “pemakai menoa” dan “pulau galau” sebagai tanah adat asli. 

Buat masa ini, undang-undang hanya mengiktiraf “temuda”, atau tanah pertanian. 

Ngau menggesa pemilik tanah NCR untuk mengadakan sekatan satu hingga dua minggu di seluruh negeri. 

“(Sekatan) akan memberi kesan terhadap poket musuh kita (syarikat peladangan),” kata Kayan, yang menerima Anugerah Alam Sekitar Goldman pada 1990 di atas usahanya untuk menghalang penerokaan hutan di Sarawak.

Anugerah Alam Sekitar Goldman dianugerahkan setiap tahun kepada akar umbi aktivis alam sekitar, seorang bagi setiap enam benua geografi dunia”: Afrika, Asia, Eropah, Pulau, Negara Pulau, Amerika Utara dan Selatan dan Amerika Tengah. 

Ngau berkata mereka yang berkempen menentang pembinaan empangan hidroelektrik Baram membuktikan bahawa sekatan masih lagi menjadi kaedah yang berkesan. 

Mereka berkempen menyekat akses kepada kawasan yang dicadangkan untuk pembinaan itu sejak lebih dua tahun dan kini memaksa kerajaan negeri untuk menghentikan projek berkenaan.

Seorang lagi aktivis, Nicholas Mujah, bersetuju dengan cadangan sekatan itu.

“Sekiranya itu sahaja alternatif yang ada, ya, mengapa tidak? Ia idea yang bagus. Kini kita tidak mempunyai platform perundangan untuk meluahkan keluhan berhubung tanah,” katanya, merujuk kepada dua keputusan Mahkamah Persekutuan yang memberi tamparan serius terhadap amalan pemilikan tanah Dayak.

Pada Disember tahun lalu, mahkamah agung memutuskan “pemakai menoa” dan pulau galau” tiada kuasa undang-undang dan tuntutan tanah NCR hanya terpakai untuk “temuda” dan bukan hutan di sekitar rumah panjang.

Warga Dayak bertegas bahawa mereka mempunyai hak terhadap tanah di sekitar rumah panjang, termasuk hutan dalam kawasan itu, dan aktivis hak tanah adat mendakwa keputusan mahkamah gagal mengambil kira undang-undang adat tidak bertulis kaum Dayak.  

Pada 13 Oktober, Mahkamah Persekutuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan dengan dengan penghakiman bahawa Seksyen 132 Kanun Tanah Sarawak melindungi ketidakpastian hakmilik pajakan, walaupun telah ditunjukkan bahawa NCR telah diwujudkan di atas tanah yang diasingkan.

Mahkamah memutuskan pemilik tanah tidak lagi boleh menuntut kembali tanah mereka, namun boleh menuntut pampasan kerugian. 

Peguam hak Tanah Abun Sui Anyit berkata, sekatan akan memberi kesan yang lebih kuat berbanding perhimpunan. 

“Berapa banyak perhimpunan yang boleh kita buat untuk jadikan kerajaan mengambil berat hak ehwal Dayak?” kata pemimpin akar umbi PKR itu, yang menambah pemilik tanah tidak perlu takut dengan kesan sekatan demi melindungi tanah mereka. 

Katanya, sekiranya ditangkap kerana didakwa melanggar undang-undang, tidak akan ada ruang yang cukup di penjara untuk menahan mereka. 

Bagaimana pun katanya, sekatan itu hanya boleh dibuat hanya selepas tiga bulan. Tempoh itu ditetapkan oleh penganjur perhimpunan bulan lalu kepada kerajaan negeri untuk mencari penyelesaian. 

Tempoh berkenaan tamat pada 13 Februari tahun depan. – 15 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen