Anwar tiba di Istana Negara untuk menghadap Agong


Alfian Z.M. Tahir

Kenderaan membawa Presiden PKR Anwar Ibrahim dilihat memasuki Istana Negara melalui Pintu 2 pada pukul 10.25 pagi untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 13 Oktober, 2020.

PRESIDEN PKR, Anwar Ibrahim tiba di Istana Negara untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk membuktikan beliau mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Port Dickson itu sampai di Pintu 2 Istana Negara pada pukul 10.25 pagi dengan menaiki Jaguar berwarna hitam.

Bagaimanapun, beliau tidak berhenti untuk bercakap dengan pihak media dan terus menuju ke dalam perkarangan Istana.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil awal pagi ini memberitahu media beliau tidak pasti sama ada Anwar akan bercakap dengan media selepas selesai menghadap Agong.

Anwar pertama kali mengaku mendapat sokongan majoriti pada 23 September, tetapi tidak dapat menghadap Agong yang dimasukkan ke hospital pada masa itu.

Polis semalam berkata mereka akan memanggil pemimpin pembangkang berkenaan berhubung senarai 121 ahli Parlimen yang dikatakan menyokongnya dalam menukar kerajaan.

Pelbagai parti politik di pihak kerajaan menolak dakwaan Anwar dan mengulangi sokongan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau tidak boleh menghalang ahli Parlimen partinya daripada menyokong Anwar sekiranya ada yang ingin berbuat demikian. – 13 Oktober, 2020.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen