POLIS menahan enam wanita warga Vietnam dipercayai melakukan aktiviti pelacuran dalam serbuan di dua premis berasingan di sekitar bandar Batu Pahat, malam tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat Supt Muhammad Izzudin Runggai berkata serbuan bermula pada 11 malam itu turut menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai penjaga satu daripada premis berkenaan.
“Semasa serbuan, dua wanita telah cuba melarikan diri ke siling premis sebelum terjatuh ke bahagian bawah premis. Akibatnya, seorang daripada mereka mengalami kecederaan di kepala dan dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurut Muhammad Izzudin, kesemua wanita berkenaan dipercayai menawarkan ‘layanan’ pada harga bermula dari RM70 hingga RM150 bagi setiap perkhidmatan yang menyasarkan pelanggan dalam kalangan lelaki warga asing sahaja.
“Polis juga merampas kondom, tisu dan minyak pelincir yang dipercayai digunakan untuk aktiviti pelacuran,” katanya dan menambah polis turut menahan tiga pelanggan warga asing bagi membantu siasatan.
Kesemua mereka yang berumur 29 hingga 47 tahun itu kini disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan, Seksyen 373 kanun sama dan Akta Imigresen 1959/63. – Bernama, 12 Oktober, 2020.
Komen