Semua parti politik main duit di PRN Sabah, kata Bersih 2.0


Hailey Chung Wee Kye

Sekurang-kurangnya tujuh kes beli undi dikesan dibuat Warisan Plus dan Gabungan Rakyat Sabah, lapor Bersih 2.0. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Oktober, 2020.

WARISAN Plus dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terlibat dalam korupsi beli undi dalam Pilihan Raya Negeri Sabah baru-baru ini, kata Bersih 2.0.

Badan pemantau pilihan raya itu mendedahkan yang kedua-dua blok parti itu terlibat dalam tujuh kes beli undi yang dikesannya.

Katanya juga, parti lain dan calon Bebas juga dikesan terlibat dalam dua kes amalan korupsi pilihan raya itu.

“Jelas sekali yang politik wang masih berleluasa dalam Pilihan Raya Negeri Sabah,” kata Pengerusi Bersih 2.0 Thomas Fann.

Bersih 2.0 hari ini mengeluarkan laporan pemerhatian PRN Sabah ke-16 dalam sidang media dalam talian disiarkan di akaun Facebook mereka.

Kesalahan terbanyak adalah jenayah korupsi dilakukan hampir semua parti politik terlibat dengan membeli undi sebelum hari penamaan calon hingga hari pengundian.

Laporan itu disahkan oleh pemerhati Bersih 2.0 melalui wawancara dan pemantauan dalam talian.

“Daripada laporan Sabah, kita dapat menyaksikan secara keseluruhannya wujud rasa tak hormat calon politik kepada undang-undang pilihan raya.

“Situasi ironi kerana calon ini bertanding untuk menjadi penggubal undang-undang tetapi mereka bermula dengan menjadi pelanggar undang-undang.

“Tak kisahlah mereka berasal dari parti mana, jika mereka langgar undang-undang, jangan undi mereka,” kata Fann yang menggesa pengundi menilai integriti calon pilihan raya.

Fann sendiri menyaksikan kejadian tersebut ketika menjadi pemerhati pilihan raya di Pusat Pengundian Bingkor.

Beliau melaporkan di luar SK Bingkor, Keningau, beliau menemui ada “pondok panas” Perikatan Nasional (PN) yang mengutip slip mengundi diberikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan menyerahkan slip dengan logo PN yang sudah dipangkah bagi pihak pengundi.

“Saya tak pasti sama ada ‘kerjasama’ antara SPR dan parti politik tempatan ini patut berlaku.

“Ia pastinya memberi gambaran bahawa SPR memberi sokongan kepada parti politik tertentu dalam kawasan itu.”

Fann berkata beliau membuat aduan bergambar kepada SPR dan memanggil agensi itu untuk menyiasat kejadian itu pada 26 September.

Selain itu, beliau turut mendapati wujud barisan panjang di bawah pejabat parti politik Star diseberang jalan SK Bingkor. Beliau mengesyaki wujud amalan penyerahan wang berlaku selepas pengundian.

Star adalah parti komponen GRS dan calonnya menang kerusi itu.

“Kita nampak kebebasan SPR tergadai. Mengapa parti politik buat kerja SPR? Kami mahu jawapan rasmi daripada SPR,” kata Fann.

Bersih 2.0 akan menghantar laporan penuh pemerhatian mereka pada PRN Sabah kepada SPR. – 12 Oktober, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen