PARLIMEN Korea Selatan pada Isnin berkata akan memperkenalkan penggunaan bas elektrik untuk mempromosi kenderaan hidrogen, lapor agensi berita Yonhap.
Langkah itu sekali gus menjadikan parlimen organisasi pertama di negara ini yang menggunakan bas hidrogen, untuk membawa mereka yang berada di sekitar bangunan Parlimen dan dari stesen kereta api bawah tanah berdekatan.
“Pada permulaan bas hidrogen itu akan menyediakan perkhidmatan ulang-alik antara dua hingga empat kali sehari bersama dengan bas biasa yang lain,” kata seorang pegawai di Parlimen dalam satu kenyataan.
Bas hidrogen dikeluarkan Hyundai Motor Co. itu berharga 600-700 juta won (AS$520,000-AS$610,000).
Ia mempunyai kemampuan untuk bergerak sejauh 434 kilometer dengan sekali cas dan bateri 180 kilowatt-jam yang digunakan bas itu hanya memerlukan 13 minit untuk dicas. – Bernama, 12 Oktober, 2020.
Komen