-2.jpg)
PENINGKATAN kes baharu Covid-19 di negara kita semakin membimbangkan. Saya tidak menulis artikel ini dengan niat untuk menuding jari kepada sesiapa, tapi saya ingin menegaskan pendirian saya – mengadakan Pilihan Raya Negeri Sabah ketika kes Covid-19 sedang memuncak di negeri itu merupakan satu kesilapan besar.
Kita boleh berbincang tentang punca kita dikunjungi oleh gelombang ketiga Covid-19 dengan panjang lebar, namun ada satu segmen perbincangan yang kurang mendapat perhatian orang ramai: Apa yang kita perlu lakukan untuk menghadapi gelombang ketiga ini?
Ada yang menyeru supaya diadakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semula untuk melandaikan lekuk jangkitan Covid-19. Saya berpandangan Malaysia tidak mampu untuk menghadapi PKP kali kedua.
PKP kali pertama pada Mac lepas adalah satu tindakan yang boleh difahami. Keadaan itu berlaku kerana kita berada dalam fasa ‘kejutan’ – dengan kerajaan yang baru berubah, dan buat kali pertama menghadapi pandemik dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi, tempoh ‘bertenang’ diperlukan untuk merancang strategi.
Kita membayar harga yang mahal dengan PKP kali pertama ini: ramai orang kehilangan pekerjaan, perniagaan mula menggulung tikar mereka, dan cerita rakyat terputus bekalan makanan menjadi normaliti.
Setelah tujuh bulan PKP buat kali pertama dilaksanakan di Malaysia, saya berpandangan kerajaan sepatutnya sudah memiliki strategi dan perancangan untuk tidak mengulangi PKP apabila gelombang baharu muncul.
Saya tidak menafikan keberkesanan ‘lockdown’ sebagai cara melandaikan lekuk jangkitan Covid-19, tapi ia tidak boleh digunakan sebagai langkah pencegahan utama pandemik ini.
Jika kita meneliti pasaran buruh di Malaysia, masih ramai pekerja yang bekerja menggunakan sistem gaji harian. Pelaksanaan PKP bermakna mereka tidak akan mempunyai pendapatan harian untuk meneruskan kehidupan.
Menurut laporan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), kehilangan pekerjaan di negara ini meningkat sebanyak 42% untuk suku pertama tahun ini (Q1 2020). Kita harus menyedari PKP telah menjadi penyumbang terbesar kepada kehilangan pekerjaan ini.
Keadaan ini diburukkan lagi dengan fakta kajian Bank Negara Malaysia (BNM) yang mendapati 75% daripada rakyat Malaysia tidak mempunyai simpanan RM1,000. Ia bermaksud daripada empat individu yang kita temui, tiga daripada mereka tidak mempunyai simpanan sekurang-kurangnya RM1,000.
Cuba kita bayangkan bagaimana orang-orang ini ingin meneruskan kehidupan dalam keadaan kehilangan pekerjaan dan tiada wang simpanan?
Bantuan daripada kerajaan pula amat terhad, ia hanya mampu memberi kelegaan dalam tempoh yang terlalu pendek. Seharusnya kerajaan mempertimbangkan untuk mempertingkatkan bantuan sosial kepada mereka yang terkesan.
Impak daripada pandemik ini tidak berlangsung hanya beberapa bulan, tapi akan memakan masa 1-3 tahun. Perlu ada perancangan jangka masa panjang untuk memberikan bantuan kepada rakyat.
Impak lebih teruk
Apa yang saya katakan ini bukanlah idea baharu di peringkat global. Seorang ahli World Health Organization (WHO), Dr. David Nabarro berhujah, lockdown hanya akan meningkatkan kadar kemiskinan dan memberi kesan buruk yang tak dapat dibaiki.
Keadaan ini dapat kita perhatikan di Malaysia, golongan miskin terpaksa hidup dengan sukar apabila PKP dilaksanakan – kerana Mak Cik Kiah sudah tidak dapat menjual di tepi jalan, dan Pak Abu kehilangan kerja.
Keadaan ini akan memberi kesan yang tak mampu dirawat pada masa hadapan. Situasi yang sukar akan memberi kesan yang besar kepada emosi dan kesihatan mental rakyat.
Dalam tempoh-tempoh yang sukar seperti ini, keperluan asas rakyat perlu dijamin kerajaan. Sekiranya keperluan asas dipenuhi, tentu rakyat tidak terdesak sehingga terpaksa melanggar SOP untuk menampung kehidupan.
Apa yang perlu dilakukan kerajaan buat masa ini adalah memperkasakan perlindungan kepada rakyat.
Ada dua aspek yang penting dalam perlindungan ini – kesihatan dan jaminan ekonomi. Untuk perlindungan kesihatan, kerajaan perlu mula membuka hospital-hospital sementara untuk merawat penyakit selain daripada Covid-19. Keadaan ini sudah mula dilakukan di beberapa daerah di Sabah.
Semalam saya membaca berita Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah membuka klinik-klinik sementara untuk merawat pesakit tidak terkait Covid-19. Ia langkah yang betul. Saringan kesihatan rambang secara bersasar merupakan langkah aktif yang perlu dipuji.
Saya berharap pada masa hadapan kita akan dapat melakukan saringan secara percuma sehinggalah ke lapisan kelima kontak pesakit Covid-19.
Kemudian, kita juga harus fokus mencari jalan untuk memberi jaminan ekonomi kepada rakyat. Pekerjaan-pekerjaan jangka masa pendek untuk mereka yang kehilangan pekerjaan perlu diperbanyakkan.
Kita tak boleh mengharapkan sepenuhnya dengan sektor ekonomi gig seperti pemandu e-hailling atau penghantaran makanan. Masalahnya tidak semua orang memiliki kenderaan yang menepati kriteria, dan sudah terlalu banyak orang dalam sektor ini. Pemerkasaan sektor kesihatan misalnya mampu membantu menyediakan pekerjaan jangka masa pendek.
Rakyat Malaysia tidak mampu untuk menghadapi PKP sekali lagi, ia akan menyebabkan ramai rakyat akan kehilangan mata pencarian dan terdedah kepada masalah kesihatan mental. Untuk memastikan PKP tidak berlaku – rakyat perlu berdisiplin (termasuk ahli politik), dan kedua-dua langkah yang saya sebutkan tadi perlu dilakukan.– 12 Oktober, 2020.
* Rahman Imuda merupakan bekas aktivis mahasiswa.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen