Polis panggil Anwar berhubung senarai sokongan ahli Parlimen


Ketua pembangkang Anwar Ibrahim turut dijadualkan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong esok bagi memaklumkan sokongan yang diterima untuk membentuk kerajaan baharu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Oktober, 2020.

POLIS akan memanggil ketua pembangkang Anwar Ibrahim untuk beri keterangan berhubung senarai sokongan ahli Parlimen yang diterima beliau untuk membentuk kerajaan baharu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed berkata bagaimanapun ia terpaksa ditangguhkan sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak kerana Anwar tidak dapat hadir pada hari ini.

“Setiausaha sulit beliau memaklumkan bahawa YB Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya dapat hadir pada 13 Oktober jam 9 pagi, justeru PDRM menangguhkannya ke tarikh yang akan dimaklumkan kelak,” kata Huzir.

Anwar sepatutnya dipanggil untuk beri keterangan pada pukul 11 pagi hari ini.

Bagaimanapun, Anwar juga dijadualkan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong esok bagi memaklumkan sokongan majoriti yang didakwa diperoleh daripada ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.

Huzir berkata siasatan dijalankan ke atas dakwaan Anwar selepas polis menerima laporan daripada Ahli Parlimen Jerantut Ahmad Nazlan pada 8 Oktober lalu.

Siasatan itu melibatkan senarai 121 nama ahli Parlimen yang didakwa menyokong Anwar dalam usahanya untuk mengambil alih kerajaan yang kini diterajui Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Tambah Huzir, setakat ini enam laporan polis telah diterima berhubung perkara itu.

“Sehingga kini sebanyak enam laporan diterima dan pihak polis measih menjalankan siasatan lanjut di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.”

Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan itu merupakan kesalahan yang melibatkan kenyataan-kenyataan yang dikhuatiri mendatangkan khianat awam yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Pada 23 September lalu, Anwar mendakwa telah mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen yang membolehkannya membentuk kerajaan, namun tidak dapat menghadap Agong yang sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) ketika itu. 

Menjelang pertemuan ketua pembangkang itu dengan Yang di-Pertuan Agong esok, pelbagai parti politik mengeluarkan kenyataan memberi sokongan kepada kerajaan Muhyiddin dan menolak dakwaan Anwar.  

Bagaimanapun Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau tidak dapat halang mana-mana ahli Parlimen dari partinya untuk menyokong Anwar. – 12 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen