PIBG tak bercadang saman exco Kedah kes jangkitan Covid-19


Zaim Ibrahim

Disebabkan lonjakan kes Covid-19 yang berlaku, beberapa kes baharu juga dilaporkan berkaitan sekolah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Oktober, 2020.

PERSATUAN Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebuah sekolah di Penaga, Pulau Pinang tidak bercadang menyaman exco kerajaan negeri yang positif Covid-19 dan dikaitkan dengan penutupan sekolah itu.

Persatuan itu juga tidak bercadang mengambil tindakan undang-undang ke atas sekolah terbabit, SK Permatang Janggus, kata Yang Dipertua PIBG Zainal Abidin Omar.

Jelasnya, tindakan saman tidak perlu dilakukan memandangkan hanya seorang guru sahaja dijangkiti dan ia juga tidak menular kepada pelajar dan guru-guru di sekolah itu.

“Kita tidak dapat maklumat penuh bahawa guru itu menjadi punca penularan Covid-19, itu biar siasatan dalaman (tentukan),” kata Zainal ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Sekolah itu ditutup apabila seorang guru yang didapati positif Covid-19 hadir ke sekolah.

Ia menyebabkan SK Permatang Janggus ditutup bermula 1 Oktober dan kesemua guru dan seramai kira-kira 600 murid menjalani ujian Covid-19.

Guru tersebut dilaporkan isteri kepada anggota exco berkenaan, Azman Nasruddin yang didapati positif Covid-19 selepas pulang dari berkempen dalam Pilihan Raya Negeri Sabah.

Zainal menjelaskan, PIBG tidak perlu mengambil tindakan kerana ia setakat ini tidak menjangkiti pelajar dan guru lain.

“Kalau betul guru (isteri exco) menjadi punca, tak mungkin seorang pelajar atau guru tidak berjangkit. Tidak ada guru atau murid dijangkiti, jadi untuk apa PIBG nak ambil tindakan.”

Zainal juga berkata, tulisan yang tular di media sosial mendakwa PIBG akan menyaman guru berkenaan sebagai berita palsu.

“Kita buat laporan polis berkenaan berita palsu itu Ibu Pejabat Polis Seberang Perai Utara dan kita serah sahaja kepada pihak polis,” katanya.

Sekolah itu diarahkan ditutup sehingga 8 Oktober oleh Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

Sekolah itu kini dibuka semula untuk murid Tahun 3, 4, 5 dan 6 sahaja manakala murid Tahun 1 dan 2 tidak perlu hadir sehingga sehingga ke tarikh yang akan diberitahu kelak. – 10 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen