Kerajaan benarkan majlis kahwin diadakan di kawasan PKPB


Kamles Kumar

Seorang penunggang motosikal menggunakan Jambatan Kota untuk menyeberangi Sungai Klang di Klang, Selangor pada hari pertama perintah kawalan pergerakan bersyarat dikuatkuasakan hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 7 Oktober, 2020.

PUTRAJAYA akan membenarkan majlis perkahwinan diadakan di kawasan di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) tetapi dengan pematuhan ketat terhadap prosedur operasi standard (SOP), kata Ismail Sabri Yaakob.

Ismail berkata keputusan itu dibuat pada mesyuarat Majlis Keselamatan Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pagi tadi.

“Mesyuarat bersetuju untuk membenarkan majlis perkahwinan diteruskan tetapi mereka perlu mematuhi SOP.

“Jarak sosial, pemeriksaan suhu dan daftar masuk perlu dilakukan,” katanya dalam taklimat hariannya hari ini. 

Kawasan PKPB merangkumi Klang di Selangor, Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu di Sabah.

Ismail berkata majlis perkahwinan perlu diawasi dengan teliti oleh Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) atau pengurusan kawasan sesuai dengan jumlah tetamu.

“Perkahwinan di kampung atau kawasan perumahan perlu dilakukan dengan pengawasan Rela dan jika perlu di hotel dengan pengawasan pihak pengurusan hotel.

“Untuk majlis di bawah 100 tetamu, jumlah anggota Rela yang disarankan adalah dua orang, untuk 100 sehingga 300 tetamu, perlu ada tiga anggota Rela dan untuk 300 hingga 500 tetamu, perlu ada empat dan seterusnya,” katanya.

Tetamu dari luar kawasan PKPB juga perlu menunjukkan kad undangan perkahwinan untuk melepasi sekatan jalan raya.

Menurutnya PKPB untuk keempat-empat kawasan di Sabah telah dilanjutkan sehingga 26 Oktober.

“Oleh kerana masih ada kes baru yang direkodkan di daerah ini, mesyuarat hari ini bersetuju untuk melanjutkan PKPB di daerah-daerah ini,” katanya. –  7 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen