Warga Kedah bimbang kes meningkat jejaskan ekonomi tempatan


Zaim Ibrahim Diyana Ibrahim

Peniaga di Pekan Rabu. Beberapa perniagaan di Kedah terjejas selepas lebih 1,000 kes Covid-19 dicatatkan negeri itu dalam tempoh seminggu lalu, sejak 1 Oktober. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Oktober, 2020.

RAKYAT Kedah bimbang kehidupan seharian dan ekonomi mereka akan terjejas selepas negeri itu mencatatkan lebih 1,000 kes jangkitan Covid-19 dalam tempoh seminggu lalu, sejak 1 Oktober.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight, beberapa jenis perniagaan seperti di restoran dan pasar pagi di Kedah sudah mula terjejas sejak kes jangkitan meningkat ketara selepas Pilihan Raya Negeri Sabah pada 26 September.

Yang di-Pertua Pertubuhan Kebajikan Penduduk Daerah Baling, Kedah (PERKEBA) Jhangir Khan Kathem Khan bimbang peningkatan kes Covid-19 akan menjejaskan pendapatan peniaga yang baru bertatih selepas kerajaan melonggarkan perintah kawalan pergerakan.

“Ada pasar malam dan pasar pagi yang diarahkan ditutup pada saat-saat akhir oleh majlis bandaran, sedangkan mereka (peniaga) dah bersedia dengan bekalan. 

“Peningkatan Covid-19 memang ganggu ekonomi tempatan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Kedah adalah antara negeri awal yang bersih Covid-19 pada April. Bagaimanapun, rekod zon hijau itu bertukar menjadi zon merah apabila kes baharu menular melibatkan jangkitan dari seorang rakyat Malaysia yang pulang dari India pada Julai.

Penularan yang dikenali sebagai Kluster Sivagangga itu mencetuskan jangkitan gelombang kedua pada Ogos, sebelum gelombang baharu pada bulan ini selepas pilihan raya negeri Sabah.

Pada masa ini, Kedah mempunyai dua kluster jangkitan Covid-19 iaitu Kluster Tembok dengan 1,186 kes aktif dan Kluster Bah Sintok dengan 29 kes aktif, setakat 7 Oktober.

Jhangir Khan juga khuatir Covid-19 yang semakin merebak di Kedah akan memberi kesan kepada pekebun kecil terutama yang menanam sayur dan buah-buahan, yang bergantung untuk menjaja hasil mereka di pasar.

“Mereka perlu pasarkan hasil kepada peniaga di pasar. Sejak minggu lepas, pelanggan memang menurun, jadi peniaga tidak beli banyak sebab tak mahu rugi,” tambahnya.

Peniaga di yang baru bertatih selepas kerajaan melonggarkan perintah kawalan pergerakan bimbang peningkatan kes Covid-19 akan menjejaskan pendapatan mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Oktober, 2020.

Pengusaha nasi lemak di Pokok Sena, Abu Bakar Habibullah turut merasai pelanggan kian menurun dalam minggu ini.

Katanya, sejak seminggu lalu jumlah pengunjung ke kedai makannya berkurangan kepada separuh.

“Seminggu dua ini, perniagaan kita terjejas teruk. Kes meningkat dari Kluster Tembok, iaitu dari penjara tapi orang dah mula kurang keluar dari rumah.

“Orang ambil tindakan hati-hati. Tanyalah mana-mana restoran jumlah pelanggan memang jatuh,” katanya.

Kluster Tembok yang diumum pada 30 September merupakan kluster terasing yang melibatkan tahanan Penjara Alor Setar, yang sudah diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan bersasar (PKPDB) secara pentadbiran selama 14 hari sejak 5 Oktober.

Sebelum itu, pihak berkuasa mengenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) ke atas dua zon di Amanjaya, Sungai Petani serta di daerah Kota Setar.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam beberapa sidang media sepanjang minggu ini berulang kali meminta orang ramai agar tidak panik kerana kluster itu terkawal, namun mengingatkan mereka supaya tetap menjaga diri membendung penularan.

Abu mengharapkan, kerajaan dapat mengawal wabak ini sebaiknya tanpa perlu perintah kawalan pergerakan (PKP) secara menyeluruh, seperti ketika peringkat awal pelaksanaannya pada Mac lalu.

“Kami (para peniaga) takut kalau PKP semula. Kalau nak buat PKP secara bersasar, okaylah.

“Kasihan peniaga-peniaga macam kami ini,” keluh beliau.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berulang kali meminta orang ramai agar tidak panik kerana kluster Tembok terkawal, namun mengingatkan mereka supaya tetap menjaga diri membendung penularan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Oktober, 2020. 

Jual ikan murah

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat), Abdul Hamid Bahari berkata nelayan di Kedah sudah tidak menangkap ikan secara agresif seperti musim sebelum PKP.

Nelayan tidak mahu rugi dan kerana itu mengurangkan hasil tangkapan, katanya.

“Apabila kes bertambah, orang semakin kurang membeli di pasar termasuk pasar nelayan. Saya rasa kurang 50-60%.

“Nelayan juga tak agresif macam dahulu. Kalau sebelum ini boleh dapat hasil tangkapan hingga satu tan, mereka kurangkan kepada 500 kilogram sahaja,” katanya.

Beberapa jenis ikan juga dijual dengan harga murah supaya tidak membazir. Abdul Hamid memberi contoh, ikan kembung yang sebelum ini dijual RM10 sekilo sekarang dijual sehingga 3 kilo untuk harga yang sama.

“Ikan-ikan yang tak terjual nelayan jual kepada kilang baja atau kilang sejuk beku, tapi untung beberapa sen sahaja,” tambahnya.

Dalam pada itu, peniaga Muhd Iqbal Saidin yang menjual kuih dan pekasam di Pekan Rabu di Alor Setar juga bimbang kalau kes Covid-19 yang kembali meningkat di Kedah akan menyebabkan peniaganya sepertinya sekali lagi terpaksa tutup kedai.

Beliau mengadu kepada The Malaysian Insight hasil perniagaannya tidak sampai RM100 pun sehari sejak kes Covid-19 kembali meningkat di negeri itu.

“Pekan Rabu bergantung kepada pelancong luar membeli belah di kedai kita. Apabila TEMCO (PKPD) di Kota Setar, kita tutup dua minggu. Apabila buka balik kita ingat boleh cari makan tapi kes makin naik… nak dapat RM100 sehari pun susah. 

“Selepas PKP, sekurang-kurangnya bisnes kita tidaklah teruk sangat,” katanya.

Nelayan yang baru pulang dari laut membawa hasil tangkapan ke Jeti Nelayan Kuala Muda, Kedah. Kebanyakan mereka sudah tidak menangkap ikan secara agresif seperti musim sebelum PKP. – Gambar The Malaysian Insight, 8 Oktober, 2020. 

“Apa kerajaan negeri buat?”

Sementara itu, Amanah Kubang Pasu Husni Husin melihat kerajaan negeri gagal menangani peningkatan kes Covid-19 di Kedah.

Rakyat tidak nampak usaha proaktif kerajaan negeri, termasuk bantuan kepada golongan terjejas terutama peniaga, katanya.

Jelas Husni, golongan peniaga paling terjejas kerana orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga tidak keluar rumah.

“Kalau yang buat penghantaran atau perniagaan dalam talian tidak ada masalah, perniagaan mereka berjalan dan terus ada sambutan.

“Tapi yang masalahnya sekarang di Kedah banyak peniaga kecil dari kampung yang datang ke pasar menjual sayur. Mereka tidak ada kemampuan untuk tukar peniagaan ke dalam talian atau buat penghantaran, jadi bagaimana kelansungan mereka dalam situasi kini,” katanya.

Husni juga mengingatkan masalah lain yang berbangkit apabila hospital sibuk mengendalikan kes Covid-19.

Beliau mendakwa hospital mula menangguhkan temujanji rawatan penyakit lain sejak kes Covid-19 meningkat, dan ini mendatangkan masalah terutama kepada warga emas.

“Kalau nak buat temujanji di Hospital Sultanah Bahiyah mereka tidak terima, dan akan ditangguhkan sampai bulan depan jadi kita kena tunggu. Tak semua mampu untuk pergi ke hospital swasta,” katanya.

Sementara itu, beberapa penduduk berharap kerajaan mengambil langkah lebih tegas walaupun penularan kes di Kedah hanya melibatkan kawasan yang tertutup.

“Kerajaan perlu beri perhatian lebih dan mengenakan PKPD di kawasan zon merah.

“Sekolah juga perlu ditutup kerana kawasan sekolah berisiko tinggi. Jika universiti boleh tutup kenapa tidak pihak sekolah,” kata Zarul Ezwan Zainuddin, 32, seorang kontraktor.

Kakitangan kerajaan Fazrul Maidin, 37, juga berpendapatan sekolah perlu ditutup sementara kerana mendatangkan risiko kepada murid.

Beliau sendiri buat masa ini tidak menghantar anak ke sekolah.

“Sejak Isnin lalu, saya dah tak hantar anak ke sekolah sebab bimbing ramai anak kakitangan Universiti Utara Malaysia di sekolah itu,” katanya.

Satu lagi kluster aktif di Kedah iaitu Kluster Bah Sintok, yang diumum pada 5 Oktober, dikesan di Kubang Pasu. Ia melibatkan seorang lelaki yang pulang dari Sabah dan kemudian menjangkiti 10 yang lain.

Universiti Utara Malaysia (UUM) yang terletak di Sintok ditutup empat hari sejak 5 Oktober selepas 11 pelajarnya disahkan positif Covid-19. Mereka dirawat di Hospital Alor Setar.

Seorang guru berusia 30 tahun yang enggan namanya didedah juga berpendapat murid yang tidak menduduki peperiksaan sepatutnya diberikan cuti sementara.

“Pelajar sekolah yang tak ambil periksa boleh dicutikan sebab sekarang pun mereka kadang- kadang saja datang sekolah, sebab ibu bapa risau,” katanya.

Kementerian Pendidikan sebelum ini sudah menangguhkan peperiksaan awam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan peperiksaan lain yang setaraf sehingga sebelum April 2021.

Jangan panik

Sementara itu, peniaga di Baling, Zaid Mukti berharap rakyat di Kedah tidak terlalu panik menghadapi peningkatan kes Covid-19.

Beliau yakin, sama seperti keadaan pada April lalu, trend di Kedah itu akan dapat dilandaikan.

“Kita jangan terlalu panik, nanti yang terkesan rakyat kita juga. Kita kena tahu kes ini terkawal sebab ia berlaku dalam penjara.

“Yang penting SOP kita kenalah jaga, jangan lalai,” katanya. – 8 Oktober, 2020. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen