POLIS memberkas dua lelaki yang menyamar sebagai anggota polis dan memeras ugut pekerja ladang di Felcra Sungai Pergam, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Hanyan Ramlan berkata dua suspek berusia 36 dan 37 tahun itu ditahan dalam tempoh 24 jam iaitu pada pukul 2 pagi tadi ketika bersembunyi di Pantai Chendor, Kuantan.
“Dua suspek ini dikatakan melakukan aktiviti memeras ugut pekerja asing di ladang-ladang di kawasan pedalaman bagi mengelakkan aktiviti mereka dikesan pihak berkuasa, bagaimanapun mereka tidak mengetahui bahawa pihak polis dan pihak ladang mempunyai hubungan rapat,” katanya ketika dihubungi Bernama di Chukai hari ini.
Menurut Hanyan, hasil ujian saringan air kencing ke atas kedua-dua suspek mendapati mereka positif dadah dan kesemua mereka mempunyai rekod kesalahan lampau melibatkan kes dadah.
Kesemua suspek ditahan reman selama empat hari bermula dari tarikh mereka ditangkap dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam serta Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana pemerasan. – Bernama, 7 Oktober, 2020.
Komen