SOP baharu di penjara kekang Covid-19, kata Ismail Sabri


Kamles Kumar

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan akan memperkenalkan SOP baharu di penjara dan pusat tahanan untuk kekang penularan Covid-19 dalam kalangan banduan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Oktober, 2020.

PUTRAJAYA akan memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) baharu di penjara dan pusat tahanan untuk mengekang penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan banduan, tahanan dan kakitangan.

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata SOP baharu akan merangkumi perincian pemindahan dan pengangkutan tahanan berikutan wabak berkenaan.

Langkah ini dibuat selepas sebilangan besar kes Covid-19 datang dari penjara dan pusat tahanan yang melibatkan tahanan serta banduan. 

“Mesyuarat hari ini bersetuju untuk meminta Jabatan Penjara mengemukakan SOP baharu kerana SOP sedia ada tidak lagi digunakan.

“Sebagai contoh, untuk membawa tahanan didakwa di mahkamah, mereka perlu dibawa secara fizikal. Walaupun di penjara, ada kontak rapat,” katanya dalam taklimat hariannya hari ini.

Ismail Sabri berkata pihaknya akan bertanggungjawab menyusun prosedur berkenaan.

Ahli Parlimen Bera itu menambah sebilangan besar kes baru-baru ini datang dari Penjara Alor Setar dan pusat tahanan lain.

“Semalam saja dari 691 kes positif Covid-19, 394 dari Kedah yang melibatkan penjara dan tujuh lagi dari Pusat Tahanan Taiping.

“Ini bererti 401 kes datang dari penjara yang tidak berhubungan dengan masyarakat luar,” katanya.

Semalam Malaysia mencatatkan kes peningkatan tertinggi dalam satu hari pada jumlah 691 dengan empat kematian.

Kini terdapat 2,936 kes aktif. Daripada jumlah itu seramai 31 pesakit berada di unit rawatan rapi (ICU) dan lapan pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan. – 7 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen