Klang, 3 kawasan di Sabah dikenakan PKPB 


Hanya perkhidmatan penting dan industri yang diluluskan dibenarkan beroperasi di kawasan terlibat.– Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Oktober, 2020.

PERINTAH Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dilaksanakan di Klang, Selangor dan tiga kawasan di Sabah iaitu Sandakan, Papar dan Tuaran.

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob yang mengumumkan perkara itu hari ini berkata ia akan berkuatkuasa pada 9 Oktober.

Hanya perkhidmatan penting dan industri yang diluluskan dibenarkan beroperasi dan orang ramai juga tidak dibenarkan makan di restoran.

Langkah itu bagi mengekang penularan wabak Covid-19 berikutan kesemua kawasan berkenaan diwwartakan sebagai zon merah.

“Melihat kepada peningkatan kes Covid-19 di kawasan ini, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPB bermula 9 Oktober, 2020.

“Pelaksanaan ini diambil bagi membendung jangkitan dan penularan Covid-19 dalam daerah tersebut, serta membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari.

“Pergerakan keluar masuk di keempat-empat kawasan PKPB ini adalah tidak dibenarkan,” kata Ismail Sabri pada sidang media di Facebook hari ini.

Beliau berkata bandar pelabuhan Selangor dan tiga daerah di Sabah itu dikenal pasti sebagai zon merah Covid-19 dan akan beberapa kawasan akan ditutup.

Ismail Sabri juga berkata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (Miti) akan menyenaraikan jenis perkhidmatan perlu yang terlibat di kawasna terbabit.

“Pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia akan menyenaraikan jenis perkhidmatan perlu yang terlibat di kawasan tersebut,” katanya.

Antara SOP yang dikenakan di kawasan terbabit termasuk:

  • Hanya dua individu dari sebuah rumah dibenarkan keluar untuk mendapatkan keperluan harian. 
  • Perkhidmatan dan perniagaan bukan keperluan perlu ditutup. 
  • Restoran, premis makanan, kedai runcit dan kerdai serbaneka hanya dibenar beroperasi antara pukul 6 pagi hingga 6 petang. 
  • Stesen minyak hanya dibenar beroperasi antara pukul 6 pagi hingga 2 petang sahaja. 
  • Pasar harian beroperasi antara 6 pagi hingga 2 petang sahaja. 
  • Hospital dan klinik kerajaan serta swasta dibenar beroperasi 24 jam.
  • Perkhidmatan e-hailing (maksimum 2 penumpang) dan penghantaran makanan dibenar beroperasi dari pukul 6 pagi hingga 8 malam sahaja. 
  • Masjid, surau, rumah ibadat bukan Islam, institusi pengajian tinggi awam dan swasta, institut latihan kemahiran, sekolah, tadika, taska, pusat tahfiz, pusat jagaan kanak-kanak akan ditutup. – 7 Oktober, 2020.

Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen