Iraq hukum gantung 38 anggota IS, al-Qaeda


Tentera Iraq mengibarkan bendera negara di Mosul pada Julai lalu selepas Perdana Menteri Haidar al-Abadi mengumumkan kawasan yang sudah dirampas semula daripada kumpulan militan Islamic State. – Gambar EPA, 15 Disember, 2017.

IRAQ melaksanakan hukuman gantung terhadap 38 anggota kumpulan militan Islamic State (IS) atau al-Qaeda bagi kesalahan berkaitan keganasan pada Khamis di bandar raya Nasiriyah, kata pihak berkuasa wilayah itu.

Ia adalah jumlah terbesar di Iraq dalam satu hari sejak 25 September apabila 42 orang dihukum bunuh di penjara yang sama.

“Pihak pentadbiran penjara melaksanakan hukuman pada Kamis di hadapan Menteri Kehakiman Haidar al-Zameli, di penjara Nasiriyah terhadap 38 tahanan al-Qaeda atau IS yang dituduh melakukan kegiatan keganasan,” kata seorang pegawai kanan, Dakhel Kazem.

Kesemua mereka merupakan warga Iraq kecuali seorang rakyat Sweden, kata sumber penjara.

Perdana Menteri Haider al-Abadi pada Sabtu mengisytiharkan kemenangan terhadap IS selepas kempen tiga tahun pasukan kerajaan yang disokong oleh gabungan Amerika Syarikat bagi merampas semula wilayah ditawan pihak pelampau.

Badan pemerhati, Amnesty International sering menyuarakan kebimbangan tentang pelaksanaan hukuman mati di Iraq, yang merupakan salah sebuah negara yang menjalankan hukuman mati tertinggi di dunia selepas China, Iran dan Arab Saudi.

“Individu yang menjalankan serangan maut terhadap penduduk awam harus dibawa ke muka pengadilan tetapi melaksanakan hukuman mati bukanlah jawapannya,” kata Pengarah Penyelidik Timur Tengah Amnesty, Lynn Maalouf, pada Khamis.

“Dengan melaksanakan satu lagi hukuman mati secara besar-besaran, yang kedua dalam tempoh tiga bulan, pihak berkuasa Iraq sekali lagi memperlihatkan secara terang-terangan tidak mempedulikan terhadap nyawa dan maruah manusia.”

Dalam laporan yang dikeluarkan pada 5 Disember, Human Rights Watch mengkritik kerajaan pusat Iraq dan pihak berkuasa Kurdish berhubung perbicaraan besar-besaran individu yang disyaki anggota IS. – AFP, 15 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen