4 maut dalam 3 kemalangan berasingan di Sungai Petani 


EMPAT individu termasuk dua warga Bangladesh maut dalam tiga kemalangan jalan raya berasingan yang berlaku di daerah ini semalam dan hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Adzli Abu Shah berkata kemalangan pertama berlaku pada  6.30 petang semalam di Jalan Sungai Lalang-Bukit Selambau berhampiran Kampung Sungkap Para, dekat sini, membabitkan sebuah lori dan sebuah motosikal dinaiki dua lelaki warga Bangladesh.

“Siasatan awal mendapati lori terbabit yang menghala ke arah Bukit Selambau, telah memasuki arah bertentangan dan sewaktu cuba masuk semula ke laluannya, bahagian belakang lori telah terkena bahagian hadapan motosikal dinaiki mangsa.

“Ekoran kemalangan itu, penunggang motosikal berusia 46 tahun maut di lokasi kejadian manakala rakannya berusia 33 tahun yang membonceng meninggal dunia sewaktu dirawat di Unit Kecemasan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di Sungai Petani.

“Pemandu lori itu pula iaitu lelaki berusia 59 tahun dan kelindan lori berusia 46 tahun tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Adzli berkata kemalangan kedua pula berlaku di Km51, Jalan Alor Setar-Butterworth, arah Bedong menghala ke Sungai Petani, pada 6.30 petang semalam yang melibatkan dua buah kereta dan sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki berusia 21 tahun.

“Siasatan awal mendapati penunggang motosikal itu terlanggar bahagian belakang kereta jenis Proton Wira yang sedang membelok ke kanan untuk masuk ke satu simpang sebelum motosikal tersebut terbabas dan melanggar kereta jenis Perodua Myvi yang berhenti di simpang jalan berkenaan.

“Mangsa meninggal dunia ketika sedang dirawat di Unit Kecemasan HSAH, manakala pemandu kereta Proton Wira (lelaki) berusia 57 tahun dan pemandu kereta Myvi (perempuan) berusia 28 tahun, tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Adzli berkata satu lagi kemalangan membabitkan kematian berlaku di Kawasan Perindustrian Bakar Arang, di Sungai Petani kira-kira 7 pagi tadi membabitkan kenderaan pacuan empat roda dan seorang pejalan kaki.

“Dalam kejadian tersebut, kereta pacuan empat roda dipandu lelaki berusia 53 tahun itu telah melanggar seorang pekerja kilang (wanita) yang sedang melintas jalan, mangsa berusia 48 tahun maut di lokasi kejadian manakala pemandu kereta terbabit tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Adzli berkata mayat kesemua mangsa kemalangan dibawa ke Unit Forensik HSAH untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.– Bernama, 7 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen