KERAJAAN Brunei menguatkuasakan pelaksanaan Caj Perkhidmatan (CaP) dan Pas Perjalanan Kerap (FCP) bagi merentas sempadan daratnya bermula 1 Oktober lepas.
Konsulat Negara Brunei Darussalam di Sarawak dalam satu kenyataan hari ini berkata CaP dengan kadar bayaran B$3 (kira-kira RM9.16) dikenakan ke atas setiap individu setiap kali melintasi pos sempadan darat Sarawak-Brunei.
“Warganegara Brunei, Malaysia dan warganegara asing yang melakukan perjalanan kerap sekurang-kurangnya 15 kali sebulan untuk tujuan pekerjaan dan/atau persekolahan adalah layak untuk memohon Pas Perjalanan Kerap (FCP).
Pas ini boleh dipohon secara dalam talian melalui portal Jabatan Perdana Menteri Brunei Darussalam (www.pmo.gov.bn/travelportal),” menurut kenyataan itu.
Kadar bayaran FCP bagi kategori pekerja ialah B$50 (RM152.70) seorang untuk tempoh sah satu bulan, B$150 (RM458.07) untuk tempoh sah tiga bulan dan B$300 (RM916.23) untuk tempoh sah enam bulan.
Sementara kategori pelajar pula, kadar bayaran FCP ialah B$30 (kira-kira RM91.62) untuk pas tempoh sah sebulan, B$90 (RM274.87) tempoh sah tiga bulan dan B$180 (RM549.74) tempoh sah enam bulan.
Pengecualian CaP diberikan kepada kenderaan yang dimiliki kerajaan Malaysia atau kerajaan negeri Sarawak untuk kegunaan rasmi; kereta bomba, ambulans dan polis; kenderaan membawa jenazah; dan kanak-kanak berumur dua tahun ke bawah.
Menurut kenyataan itu, permohonan bagi pengecualian CaP bagi kes khas boleh dipohon melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Brunei. – Bernama, 7 Oktober, 2020.
Komen