Thailand tahan 23 warga China terlibat 'Macau Scam'


POLIS Thailand menahan 23 warga China di pekan Danok di Sadao, selatan Thailand berhampiran dengan sempadan Malaysia hari ini kerana dipercayai menjalankan kegiatan “Macau Scam” dan judi dalam talian.

Timbalan Ketua Polis Thailand, Jen. Tenisak Thirasawat yang turun sendiri ke lokasi kejadian berkata, kesemua warga China itu ditahan hasil maklumat risikan tentang kegiatan jenayah dijalankan kumpulan terbabit.

“Kesemua mereka, 19 lelaki dan empat wanita ditahan di 11 buah pangsapuri di pekan Danok hasil serbuan oleh pihak tentera, polis dan pihak berkuasa tempatan,” katanya pada sidang media di Songkla.

Pelbagai peralatan dirampas daripada kumpulan itu termasuk 19 komputer peribadi, 23 komputer riba, 47 telefon bimbit, 113 kad ATM dan peti simpanan serta duit dalam pelbagai matawang asing, menurut beliau.

Antara matawang asing yang dirampas pihak berkuasa termasuk 50,000 Baht (RM6,300), 30,000 Yuan dan RM300, kata Tenisak dan menambah, pihak berkuasa mula memantau kegiatan kumpulan warga China itu sejak lima bulan lepas.

Menurutnya, kesemua warga China terbabit yang kini sedang ditahan di pejabat Imigresen Sadao enggan memberi kerjasama kepada pasukan penyiasat. 

Bagaimanapun, katanya, pihak berkuasa Thailand percaya kumpulan warga China itu yang bekerja 23 jam sehari mempunyai hubungan yang rapat dengan sindiket ‘Macau Scam’ di negara asal mereka. – Bernama, 14 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen