Polis tahan lelaki simbah air ke arah jurutol


POLIS menahan seorang lelaki yang terlibat dalam insiden menyimbah air minuman ke arah seorang jurutol wanita yang bertugas di tol Lebuhraya Shah Alam (LSA), semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Risikin Satiman berkata suspek berumur 30-an itu ditahan pada hari yang sama dengan kejadian, susulan menerima laporan polis berhubung insiden berkenaan oleh mangsa.

Beliau berkata kejadian itu berlaku kira-kira 7 pagi apabila suspek menaiki kenderaan jenis Perodua Bezza melalui lorong tol tempat mangsa bertugas untuk menambah nilai kad Touch ‘n Go miliknya.

“Suspek bagaimanapun diminta oleh mangsa untuk melakukan urusan berkenaan di lorong tol lain yang dikhaskan untuk urusan menambah nilai.

“Suspek kemudian beredar namun datang semula ke lorong tol tempat mangsa bertugas kira-kira 9.05 pagi untuk memarahinya sebelum mencampakkan bungkusan air minuman ke arah jurutol itu,” katanya menerusi rakaman audio yang dimuat naik dalam laman Facebook rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini.

 Risikin berkata pihaknya kini sedang menjalankan siasatan lanjut di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana kesalahan melakukan ugutan.

Semalam, tular dalam media sosial satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tol berkenaan berdurasi 50 saat memaparkan seorang individu bertindak keluar dari kenderaannya sebelum menyimbah air minuman berbungkus kepada seorang jurutol wanita di LSA.  – Bernama, 6 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen