HUNTING Season, filem pertama arahan pengarah Natalia Garagolia dari Argentina, dipilih filem terbaik Festival Filem Antarabangsa Macao (IFFAM) ke-2 yang berakhir hari ini.
Ini adalah kemenangan dua tahun berturut-turut filem dari Argentina meraih hadiah utama festival. Filem terbaik pada IFFAM 2016 dimenangi oleh The Winter arahan Emiliano Torres, juga sebuah filem arahan pertama.
Pengarah filem Perancis, Laurent Cantet yang mengetuai panel lima juri berkata Hunting Season sebuah filem yang penceritaannya mengalir teratur dan bergaya serta diarahkan dengan tepat.
“Filem ini mengangkat subjek yang sukar dan sensitif: berkabung kematian ibu, penyatuan semula ayah dan anak yang berpisah, kesepian anak muda.
“Atas semua alasan ini, dan juga kualiti lakonannya, juri menganugerahkan Hunting Season hadiah Filem Terbaik festival,” katanya pada majlis penyampaian anugerah dan penutup IFFAM di Macao, malam tadi.
Anugerah filem terbaik itu disampaikan oleh Cantet dan pelakon Malaysia yang menempa nama di pentas dunia, Michelle Yeoh.
Empat juri lain ialah pelakon China, Joan Chen; pengarah filem Austria, Jessica Hausner; penulis Britain, Lawrence Osborne dan pengarah filem dari Singapura, Royston Tan.
Panel juri menamakan Xavier Legrand sebagai pengarah terbaik melalui filem Custody manakala pelakon kanak-kanaknya Thomas Giuria turut dinamakan pelakon bakat baru. Beliau memainkan watak seorang anak yang tersepit emosi selepas ibu dan ayahnya bercerai, dan merebut hak penjagaan ke atas dirinya.
Pelakon terbaik dimenangi oleh Song Yang melalui Wrath of Silence (China) dan Jessi Buckley dari filem Beast (United Kingdom).

Filem yang mewakili Israel ke pencalonan filem asing terbaik di Anugerah Academy, Foxtrot menang hadiah lakon layar terbaik. Foxtrot, sebuah filem anti perang, sebelum ini pernah dikecam oleh Menteri Kebudayaan Israel, Miri Ragev kerana didakwa mempersendakan pasukan tentera Israel.
Anugerah Filem Pilihan Penonton diberikan kepada Borg McEnroe, filem Sweden yang mengangkat pertarungan klasik final tenis Wimbledon antara Bjorn Borg dan John McEnroe pada 1980.
“Kita sangat gembira dengan sambutan yang diberikan oleh penonton di Macao kepada program yang disusun.
“Saya ucapkan terima kasih kepada semua pembikin filem yang datang untuk mempersembahkan filem mereka di sini,” kata pengarah artistik IFFAM, Mike Goodridge.
IFFAM yang masuk tahun kedua ini menyaksikan peningkatan jumlah penonton dengan beberapa tayangan habis terjual. Sejumlah 48 buah filem, termasuk 10 yang dipertandingkan, ditayangkan sepanjang festival selama seminggu sejak Jumaat lalu.
Dalam pada itu, pelakon veteran Udo Kier menerima anugerah pencapaian sepanjang karier, sementara lapan pelakon dinamakan oleh majalah filem Variety sebagai bintang harapan Asia. – 14 Disember, 2017.
Komen