KDNK diramal menguncup 4% tahun ini


Ragananthini Vethasalam

Pengarah Eksekutif SERC, Lee Heng Guie meramalkan lonjakan 5% KDNK pada tahun depan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Oktober, 2020.

PUSAT Penyelidikan Sosio-Ekonomi (SERC) mengunjurkan ekonomi Malaysia menguncup kepada 4.0% bagi 2020 susulan pergelutan berlanjutan terhadap Covid-19, sebelum melonjak kepada 5% pada tahun depan.

Pengarah Eksekutif SERC Lee Heng Guie berkata dalam taklimat ekonomi suku tahunan hari ini, unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berdasarkan senario asas di mana rantaian bekalan terganggu dan permintaan domestik lembap kerana tempoh yang lama bagi mengekang wabak tersebut.

Faktor lain yang menyokong unjuran tersebut adalah pergolakan kewangan dan langkah rangsangan fiskal yang dapat mengurangkan impaknya.

“Unjuran asas saya sekarang disemak kepada -4.0% daripada -3.0%.

“Bagi unjuran tahun depan, saya meramalkan 5.0%,” katanya dalam taklimat yang diadakan secara sidang video.

“Dalam keadaan paling buruk, dengan anggapan PKPD (perintah kawalan pergerakan diperketatkan) berskala luas atau PKPD bersasar dikenakan, ekonomi boleh menguncup antara -4.5 hingga -5.0% dan tahun depan pertumbuhan akan berlaku sekitar 2.0%,” tambahnya ketika bercakap mengenai unjuran penurunan. – 6 Oktober, 2020.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen