Selepas lebih 100 tahun, industri pandai besi di Telok Air Tawar kian malap


Zaim Ibrahim

Azahar Hamid, 53, adalah keturunan Tok Salleh yang dikatakan pengasas industri pandai besi di kampung itu. – Gambar The Malaysian Insight, 7 Oktober, 2020.

SELAMA lebih 100 tahun, sebuah perkampungan kecil di Pekan Darat, Telok Air Tawar di Pulau Pinang menjadi tapak perusahaan kerja-kerja pandai besi sejak tahun 1841.

Selama tempoh itu, ia melahirkan 19 tukang besi dan menghasilkan pelbagai peralatan yang dipakai di serata Semenanjung Malaysia malah sampai ke Thailand.

Namun kini, hanya tinggal dua tiga orang sahaja yang masih menukang besi kerana anak-anak kampung lebih berminat bekerja dengan gaji yang tetap.

Seorang pewaris pandai besi, Azahar Hamid, 53, berkata, perusahaan itu sekarang hanya bergantung pada permintaan individu dan jualan atas talian sahaja.

“Sejak 20 ke 30 tahun dahulu, hanya syarikat-syarikat besar sahaja menguasai perindustrian getah, kelapa sawit, dan pertanian untuk bekalkan alat-alat tajam. Usahawan kecil seperti kami ini, seolah-olah ‘habis’ dah.

“La ni (sekarang), saya nampak masa depan kita gelap kalau kerajaan tidak bantu, contohnya Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) tidak ambil barangan kita untuk industri getah.

“Sejak tahun 80-an, kita tak dapat bersaing syarikat-syarikat besar dan hanya bekalkan kepada permintaan individu. Pernah dulu, kita macam minta sedekah pula kepada peraih-peraih untuk minta mereka beli pisau getah daripada kita,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau ditemui di bengkel besi peninggalan ayahnya, di Jalan Haji Murshid, Pekan Darat, Teluk Air Tawar.

Industri pandai besi di Telok Air Tawar sudah wujud sejak 100 tahun lepas, tetapi masa depannya kian malap. – Gambar The Malaysian Insight, 7 Oktober, 2020.

Kata Azahar, beliau kini mahu membangunkan semula industri besi di Pekan Darat dan menarik golongan muda di kampung itu belajar kemahiran menukang besi.

” Kita fokus menghasilkan alatan tajam untuk kegunaan pertanian. Sebab itu, saya harap agensi-agensi kerajaan berasas pertanian seperti Risda, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), atau Felcra untuk ambil produk-produk kita.

“Saya nak tarik balik anak-anak kampung, yang hisap dadah, yang tiada kerja supaya bekerja… itu harapan saya.

“Agensi kerajaan memang ada bantu kami, termasuk sediakan mesin-mesin tetapi kami tidak mendapat tempahan yang tinggi, anak-anak muda berminat kerja di kilang lain, akhirnya mesin di bengkel terbiar sahaja,” tambah beliau.

Beliau bagaimanapun tidak mudah putus asa dengan tetap menerima tempahan daripada orang ramai walaupun pendapatan pertukangan besi tidak sampai RM1,000 sebulan.

“Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu, seorang individu hubungi saya untuk jual pelbagai alatan kita melalui atas talian.

“Saya sendiri tidak sangka, alatan seperti pelbagai jenis pisau, parang, kapak malah alat kukur kelapa tradisional dapat dijual. Pada bulan itu, kami meraih RM2,000 sebulan.

“Sekarang sambil kita berniaga atas talian dan terima tempahan daripada individu. Saya juga hasilkan pelbagai jenis pisau dan parang sebagai stok, sebab ada yang dah tahu tempat kita, mereka datang dan terus beli,” jelasnya.

Azahar Hamid, 53, adalah keturunan Tok Salleh yang dikatakan pengasas industri pandai besi di kampung itu. – Gambar The Malaysian Insight, 7 Oktober, 2020.

Azahar mewarisi bakat pertukangan besi daripada ayahnya, yang merupakan keturunan Tok Salleh, iaitu individu pertama memperkenalkan pertukangan besi di kampung itu pada tahun 1841.

Menurut cerita yang disampaikan dari mulut ke mulut, Tok Salleh lari ke Pekan Darat dari Kedah, selepas Siam menyerang negeri itu pada tahun 1821.

Tok Salleh dikatakan mampu mengukir keris dengan hanya menggunakan jari, dan kemudian mengajar penduduk kampung hal ehwal pertukangan besi sehingga pada suatu ketika hampir semua rumah mempunyai bengkel besi masing-masing.

“Seorang tukang paling kurang perlu seorang pembantu, jadi dalam kampung ini sahaja ada dalam 40 tukang besi.

“Walaupun kita ada bengkel yang besar tetapi aktiviti pertukangan turut dilakukan di belakang rumah sahaja.

“Waktu itu mereka hasilkan senjata tajam, kacip, kukur kelapa, tajak sawah, pisau toreh pokok getah dan pelbagai alatan lagi,” tambahnya.

Atas kepakaran itu, industri besi di kampung itu dikenali sebagai “Pandai Besi”. Katanya, hasil besi yang diusahakan dapat dijual hingga ke Thailand untuk perindustrian getah.

“Istilah pandai besi ini diberikan kepada individu yang mampu mencipta apa-apa sahaja alatan daripada besi. Dia bukan hanya boleh buat pisau, parang atau kacip sahaja, tetapi bagilah apa-apa besi dia boleh ciptakan semua,” jelas Azahar yang turut dikenali sebagai Pak Teh.

Azahar yang mula bertukang ketika berusia 15 tahun lagi yakin kualiti bilah ciptaannya masih kekal hingga sekarang.

“Walaupun syarikat-syarikat besar boleh hasilkan pisau sehari 3000 bilah dan kita 30 bilah sahaja sehari, saya yakin daripada segi kualiti kita menang.

“Kita masih jaga kualiti dan ikut prosedur pembuatan yang sama sejak 1841, kita gunakan besi buruk sebagai bahan mentah yang manfaatnya ia boleh digunakan dalam tempoh yang lebih lama.

“Setiap satu alat kita buat dengan teliti dan cermat,” jelas beliau.

Azahar juga tidak hanya menghasilkan bilah pisau tetapi pelbagai jenis hulu untuk keris, parang, dan pisau.

“Ayah saya pernah pesan, kalau nak pandai, biarlah pandai semua. Sebab itu saya belajar dan kita juga hasilkan pelbagai jenis hulu.

“Untuk pelbagaikan produk, saya juga menukang kayu untuk jadi papan rehal dan papan bermain dam haji,” tambahnya. – 7 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen