UUM ditutup selepas seorang pelajar positif Covid-19


UUM menjadi IPT kedua mengambil keputusan menghentikan sesi pembelajaran selepas Unisza susulan seorang pelajar disahkan positif Covid-19. – Gambar Facebook, 5 Oktober, 2020.

UNIVERSITI Utara Malaysia (UUM) menutup kampus di Sintok, Kedah selepas seorang pelajarnya diuji positif Covid-19, lapor Berita Harian.

Ia adalah universiti kedua di negara ini yang menghentikan pembelajaran selepas pengumuman Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) Terengganu, semalam.

Naib Canselor UUM Aghmad Bashawir Abdul Ghani berkata, pelajar itu kembali ke kampus lebih awal untuk menjalani latihan Pegawai Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes).

Beliau berkata pelajar itu kembali pada 20 September sebelum keputusan Putrajaya memperkenalkan pemeriksaan wajib bagi mereka dari Sabah.

Semalam Unisza berkata ia akan ditutup selama tiga hari bermula hari ini selepas seorang kakitangannya positif Covid-19.

Naib Canselor, Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata penutupan itu melibatkan ketiga-tiga kampusnya, iaitu Gong Badak (Kuala Nerus), kampus perubatan Kuala Terengganu dan Besut.

“Semasa penutupan, proses pengajaran dan pembelajaran akan dilakukan secara dalam talian untuk memastikan keselamatan pelajar dan pekerja. Sebagai langkah kawalan, Unisza memutuskan semua kakitangan akan bekerja dari rumah antara 5 hingg 7 Oktober untuk membolehkan aktiviti pembasmian kuman menyeluruh dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, arahan itu merangkumi semua operasi pentadbiran kecuali kakitangan dalam perkhidmatan penting seperti keselamatan, kesihatan, kewangan, hal ehwal pelajar dan kolej kediaman, tertakluk kepada persetujuan naib canselor.

Menurut Hassan, pekerja positif Covid-19 ini mempunyai sejarah perjalanan menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur ke Terengganu, dan berada dalam pesawat yang sama dengan individu dari Sabah yang kemudian didiagnosis dengan virus. – 5 Oktober, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen