UEM cadang UEM Sunrise Bhd, Eco World bergabung


UEM Group Bhd (UEM) mengemukakan cadangan agar UEM Sunrise Bhd dan Eco World Development Group Bhd (Eco World) mempertimbang dan berbincang mengenai potensi penggabungan kedua-dua syarikat itu yang bakal membentuk antara syarikat pembangunan hartanah terbesar di Malaysia selain mengekalkan penciptaan nilai dan pertumbuhan jangka panjangnya.

UEM yang juga anak syarikat dengan pemilikan 100% oleh Khazanah Nasional Bhd juga menyifatkan penggabungan unit dengan kepentingannya sebanyak 66.1%, dengan Eco World itu akan turut mewujudkan peluang bagi sebuah syarikat berkaitan kerajaan sedia ada untuk bekerjasama dengan sektor swasta.

Ini sekaligus dapat membentuk salah satu syarikat pembangunan hartanah terbesar di Malaysia dengan unjuran nilai pembangunan kasar sebanyak RM173.2 bilion dan aset tanah melebihi 6,880 hektar di peringkat tempatan.

“Kumpulan ini percaya pengukuhan industri itu dapat memberi nilai bagi semua pihak berkepentingan.

“Mengambil kira situasi makroekonomi mencabar yang dijejaskan lagi oleh pandemik Covid-19 telah mewujudkan keperluan mendesak untuk syarikat pembangunan hartanah tempatan menambah baik keutuhan perniagaan masing-masing menerusi perkongsian sumber dan keupayaan bagi memperkukuh prestasi dan kelestarian perniagaan bagi jangka panjang,” kata syarikat itu dalam kenyataan hari ini.

Menurut UEM, Lembaga Pengarah kedua-dua syarikat tersebut akan menilai secara berasingan berkenaan manfaat cadangan berkenaan dan memutuskan sama ada perbincangan lanjut berkaitan perlu diteruskan.

Persetujuan cadangan penggabungan itu akan menyaksikan UEM muncul sebagai entiti lebih besar yang mana ia akan mengeluarkan saham dan waran baharu sebagai pertukaran bagi saham dan waran milik Eco World.

UEM Sunrise yang bersaiz besar ini akan mengekalkan status penyenaraian di Bursa Malaysia dan UEM akan menjadi pemegang saham tunggal terbesar dalam UEM Sunrise yang bersaiz lebih besar dengan pemilikan ekuiti sebanyak 43.0 peratus manakala pemegang saham Eco World akan memiliki 24.2% kepentingan ekuiti tersebut.

Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (termasuk UEM) secara bersama akan memiliki pegangan melebihi 50.0%.

Sementara itu, setakat 10.45 pagi ini, saham-saham UEM Sunrise naik lima sen kepada 41 sen dengan sejumlah 12.89 juta saham berpindah tangan manakala saham Eco World menokok 3.5 sen kepada 43 sen dengan 21.83 juta saham didagangkan. – Bernama, 5 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen