Bicara kes 1MDB tangguh, Najib kuarantin kendiri


Raevathi Supramaniam

Perbicaraan kes 1MDB babit Najib Razak yang dijadual bersambung hari ini hari ini ditangguh ke 19 Oktober. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Oktober, 2020.

PERBICARAAN kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) membabitkan Najib Razak yang dijadualkan bersambung hari ini hari ini ditangguh, susulan bekas perdana menteri itu menjalani kuarantin kendiri di rumah.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Colin Lawrence Sequerah menunda perbicaraan ke 19 Oktober, selepas membenarkan permohonan pasukan peguam Najib.

Peguam utama pasukan pembelaan Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan kepada hakim anak guamnya sedang menjalani kuarantin kendiri di rumah mulai 28 September hingga 12 Oktober, selepas pulang dari Sabah untuk berkempen bagi pilihan raya negeri lalu.

“Anak guam saya memaklumkan beliau terdedah kepada individu positif, tetapi tidak tahu sejauh mana beliau terdedah,” Shafee memberitahu hakim.

Sebelum pulang ke Semenanjung, Najib menjalani ujian saringan di Pantai Hospital Sabah pada 27 September. Hasil ujian tersebut negatif.

Beliau jalani kuarantin kendiri dirumah atas nasihat Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob, kata Shafee.

“Melihat kepada keadaan sekarang ini, agak berisiko. Biasanya dalam 13 hari, simptomnya dapat dilihat. 

“Saya benarkan permohonan ini,” kata Sequerah.

Bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Mohd Hazem Abd Rahman dijadual dipanggil semula ke mahkamah apabila perbicaraan bersambung semula 19 Oktober ini.

Najib berdepan 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan RM2.3 bilion dana 1MDB. Beliau boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun jika disabitkan bersalah. – 5 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen