Pengusaha di Langkawi bimbang pelancongan malap semula


Zaim Ibrahim

Industri pelancongan kembali normal apabila Temco tamat pada 26 September dengan pembukaan semula jeti di Kuala Kedah, tetapi kemudian merosot semula. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Oktober, 2020.

INDUSTRI pelancongan di Langkawi mula berkembang positif apabila perjalanan rentas negeri dibenarkan pada Jun, namun kini pengusaha bimbang apabila kes jangkitan Covid-19 kembali melonjak.

Presiden Pertubuhan Industri Pelacongan Langkawi, Phisol Ishak berkata agensi pelancongan mula menerima pembatalan tempahan sejak minggu lalu apabila kes meningkat di Kedah.

“Kita mula terkesan apabila Putrajaya melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (Temco) selama dua minggu.

“Waktu itu, perniagaan kita dah jatuh sebab Jeti Kuala Kedah juga tidak dibenarkan operasi. Jeti Kuala Perlis dan lapangan terbang di Langkawi masih ada, tapi kurang sambutan.

Katanya, industri pelancongan kembali normal apabila Temco tamat pada 26 September dengan pembukaan semula jeti di Kuala Kedah, tetapi kemudian merosot semula.

“Kehadiran pelancong sejak seminggu lalu jatuh dengan drastik apabila kes Covid-19 meningkat di Kedah, orang tak mahu datang sebab bimbang takut perintah kawalan pergerakan diadakan semula.

“Mereka pun risau dengan wabak Covid-19,” kata beliau kepada The Malaysian Insight.

Beliau menjangka, keadaan ekonomi tidak menentu yang menyelubungi industri itu akan bertambah buruk sekiranya angka kes positif Covid-19 kian meningkat.

“Kami bimbang jika keadaan ini terus melarat, sebelum ini Langkawi tiada kes. Kita zon hijau tapi sekarang dah jadi zon kuning.

“Orang Langkawi pun lebih berhati-hati, mereka kurang keluar rumah inikan pula orang luar yang mahu datang ke sini,” jelas beliau.

Katanya, peningkatan kes itu juga kini menyebabkan pengusaha terpaksa mencari alternatif lain untuk mencari pendapatan, katanya.

“Ada yang mulakan perniagaan makanan, ada yang turun ke laut menjadi nelayan. Seminggu ini boleh nampak jumlah pelancong memang jatuh berbanding bulan-bulan yang lalu,” jelas beliau.

Phisol berkata, aktiviti promosi bagaimanapun tetap dijalankan seperti biasa walaupun wabak itu mengganggu periuk nasi mereka.

Kehadiran pelancong di Langkawi sejak seminggu lalu jatuh dengan drastik apabila kes Covid-19 meningkat di Kedah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Oktober, 2020.

Persatuan Hotel Malaysia Cawangan Kedah-Perlis (MAH) pula melihat, pembatalan tempahan bilik hotel sejak seminggu lalu tidaklah begitu ketara semasa kes meningkat.

Bagaimanapun Temco di Kota Setar itu tetap menyebabkan anggota mereka kerugian hampir RM5 juta, kata penerusi MAH Eugene Dass.

“Sebenarnya, orang awam salah faham bahawa Kluster Tembok di Kedah melibatkan penjara di Kedah, bukan orang awam.

“Kerajaan dan media perlu jelaskan perkara ini, yang berjangkit itu di penjara… Tak sepatutnya menjejaskan pelancongan di Kedah,” jelasnya.

Dua hari lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan Kluster Tembok yang menjangkiti lebih 100 individu melibatkan penjara di negeri itu.

Namun, peningkatan kes Covid 19 sememangnya membimbangkan pengusaha-pengusaha hotel.

“Akibat lalai oleh segelintir masyarakat, kami memang risau jika berlaku gelombang ketiga kerana kamilah golongan pertama yang terkesan.

“Orang Malaysia memberi sokongan kepada pelancongan dalam negeri apabila aktiviti rentas negeri dibenarkan, itu satu petanda yang baik

“Tetapi jika berlaku gelombang ketiga, pasti industri kami akan teruk,” jelas Eugene.

Menurut Eugene, anggota mereka membelanjakan ribuan ringgit untuk mematuhi prosedur ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan menawarkan harga murah untuk menarik pelancong.

Tambahnya, MAH Kedah-Perlis masih kekal menjalankan promosi kerana mereka tidak mahu industri itu terus malap dan akan membuat promosi di Johor dan Pulau Pinang.

“Promosi kita akan lebih agresif, malah pengurus-pengurus besar akan akan turun menjelajah bertemu dengan pengguna.

“Di Pulau Pinang, kita rancang untuk bawa pelancongan pulau ke pulau dan Johor kita ada penerbangan terus ke Langkawi.

“Jelajah ini supaya pengguna berminat dengan pakej-pakej kita termasuk untuk keluarga dan program-program berbentuk seminar,” jelasnya.

Kluster Tembok di Penjara Alor Setar menjadi kluster paling besar di Kedah kini dikawal mengikut Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) selama dua minggu.

Semalam Malaysia mencatatkan 293 kes baharu dengan 113 daripadanya dikesan di Kedah. – 5 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen